Kes video seks wajar ke mahkamah syariah

861

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah mencadangkan isu video seks yang pelakunya mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dibicarakan me-ngikut undang-undang Islam kerana ia berkaitan hudud dengan membawa empat orang saksi yang adil.

“Saya cadangkan supaya ia dibawa ke Mahkamah Syariah dan ikut sistem kehakiman Islam kerana sudah acap kali perkara sedemi-kian dibawa, dipamerkan video tersebut. Sebenarnya, kalau diikut Islam, pendedahan video itu tidak diizin oleh Islam kerana ia boleh menjatuhkan maruah.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berasa malu kerana perkara ini tersebar ke seluruh dunia dan mengaibkan. Kita percaya ia ada kaitan dengan politik,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, walaupun video seks tersebut disahkan tulen oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, namun beliau menegaskan pelakunya belum tentu Anwar.

Katanya, video terbabit tidak boleh menjadi bukti kesahihan perkara tersebut memandangkan terlalu banyak teknologi canggih yang diguna pakai ketika ini bagi tujuan tertentu.

“Sekarang ini kalau lihat banyak peralatan canggih misalnya filem Mahatma Gandhi, dengan adanya peralatan sesuai, pelakon tersebut benar-benar mirip tokoh politik tersohor India itu,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan video seks melibatkan pemimpin oembangkang adalah tulen dan sahih setelah mendapat khidmat pakar pengime-jan video di Amerika Syarikat.

Khalid berkata, laporan daripada pakar luar itu perlu untuk mengukuhkan proses pendakwaan di mahkamah-SH