Rentetan daripada penahanan Tan Sri Isa Samad oleh SPRM berkenaan kes pembelian sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London yang melebihi harga pasaran, PAS merasakan sudah sampai masanya satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja di tubuhkan untuk menyiasat serta mengaudit FELDA & anak syarikatnya ke atas segala transaksi perniagaan yang berlaku terutamanya ketika Tan Sri Isa Samad berjawatan Pengerusi FELDA.
Jelas di ketahui umum, FELDA, Felda Global Ventures ( FGV ) & anak-anak syarikat FELDA ketika di terajui Tan Sri Isa Samad banyak menimbulkan keraguan umum terutamanya di dalam beberapa transaksi perniagaan dan pelaburan seperti menceburi pelaburan hartanah luar negara seperti pembelian hotel 4 bintang di Kensington, London, pembabitan menternak Ikan Sturgeon dan beberapa transaksi lagi hingga menggamit SPRM untuk melakukan siasatan dan seterusnya penangkapan ke atas mereka yang di syaki melakukan salah laku & pecah amanah.
Itu tidak termasuk lagi pertelagahan Tan Sri Isa Samad dengan bekas CEO FGV Datuk Zakaria Arshad dalam kes Delima Oil hingga memaksa campurtangan Kerajaan serta penyenaraian FGV di Bursa Malaysia ketika mana ramai yang tidak setuju akibat khuatir akan menjejaskan peneroka & FELDA itu sendiri. Jika di lihat keseluruhan kemelut yang berlaku, ternyata keseluruhan episod sedih di dalam FELDA mahupun FGV berlaku ketika Tan Sri Isa Samad menjawat jawatan Pengerusi di dalam FELDA dan organisasinya.
PAS khuatir jika masih terdapat lagi masalah atau kes sebegini lagi di dalam FELDA, FGV dan anak syarikat lain di dalam FELDA, maka sewajarnya Kerajaan dengan sikap telus, jujur dan berintegriti bersetuju dengan cadangan PAS supaya di tubuhkan Satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk mengaudit dan menyiasat segenap inci di dalam FELDA, FGV dan keseluruhan anak syarikat FELDA untuk memastikan cabang Kerajaan ini benar-benar bersih dari segala salah laku dan beroperasi menepati segala “ Standard Operating Procedure “ yang telah di tetapkan.
Sepatutnya wang dari kantung FELDA di gunakan untuk masa depan peneroka, memajukan peneroka, membantu peneroka dan genarasi seterusnya serta menambah baik keadaan ekonomi peneroka serta penghidupan mereka. Segala keuntungan FELDA seharusnya di jadikan pelaburan untuk masa depan FELDA itu sendiri dan peneroka, memajukan perniagaan terutamanya perniagaan teras dan produk-produk ekonomi sektor hiliran yang berkait dengan perniagaan FELDA serta pelaburan yang tidak berisiko tinggi yang belum tentu dapat menguntungkan FELDA terutamanya peneroka.
Kita tidak mahu di kejutkan lagi dengan perkhabaran duka terutamanya kepada peneroka berkaitan FELDA mahupun FGV. Setiap kes salah laku yang membabitkan FELDA mahupun FGV seolah-olah mengkhainati atau pun berbuat khianat terhadap peneroka. Seharusnya menjadi tanggungjawab FELDA mahupun FGV serta anak-anak syarikat di dalam FELDA membantu peneroka dalam segala aspek, memajukan peneroka secara tidak langsung meningkatkan ekonomi di kawasan FELDA dan sekitarnya, namun yang berlaku adalah sebaliknya.
PAS menyambut baik usaha Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad untuk “ membersihkan” FELDA serta menambah baik perjalanan syarikat mahupun operasi FELDA serta FGV. PAS berharap Tan Sri Shahrir Samad ambil peka dengan rintihan dan keluhan peneroka serta membela nasib mereka. Namun, tindakan tegas harus di ambil kepada yang bersalah serta mengkhianati peneroka. Tindakan membersih FELDA, FGV dan anak-anak syarikat FELDA haruslah di lakukan hingga ke akar umbi & cara yang terbaik, tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja yang di anggotai oleh orang-orang yang jujur, komited serta tahu selok belok FELDA serta faham rintihan peneroka. Cukuplah apa yang berlaku, rakyat terutamanya peneroka tidak mahu di khianati lagi.
Tanpa Peneroka, Tiadalah FELDA.
Sejahtera Bersama Islam.
Wan Rohimi Wan Daud.
Pengerusi ,
Lujnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar, Perumahan Dan Hal Ehwal Orang Asal,
PAS Pusat.
23 Zulkaedah 1438 / 15 Ogos 2017




























