Kerangka NGO Bantu Menang PRU14

1640

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – PAS meletakkan kerangka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi membantu parti itu menguasai dan memenangi pilihan raya umum kali ke-14 (PRU14)

Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat, Kamaruzaman Muhammad berkata semua NGO Islam adalah merupakan ‘mini jemaah’ kepada perjuangan.

“kita adalah NGO Islam yang merupakan mini jemaah dalam PAS yang akan menjadi pendesak dan pencetus kearah kemenangan PRU14,

“NGO PAS ini akan berada dalam masyarakat sebagai mata telinga parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog NGO Bersama Pemimpin PAS di sebuah restoran, di sini pada Jumaat 4 Ogos.

Oleh itu, beliau menyeru dan berharap semua NGO mempunyai halatuju dan terajunya bersama PAS dan bersama PAS mendokong perjuangan Islam.

Turut hadir dalam Majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu Dato’ Ustaz Husain Awang dan Timbalan Pesuruhjaya III Haji Yahaya Ali.

Haji Yahaya selaku Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS negeri Terengganu berkata, para anggota perlu mendapat maklumat dari sumber yang betul.

“NGO perlu mengambil pendekatan yang jelas dari sumber yang jelas…….. dan media rasmi kita itu yang perlu di rujuk saperti Buletin online, Harap TV dan Harakah,

“supaya setiap tindak tanduk yang bakal di buat itu berfakta dan jelas, jika ada penyelewengan dan itu semestinya akan membantu PAS,” jelasnya.

Menurutnya, setiap NGO perlu mengujudkan unit media masing-masing dan diselaraskan bagi membantu tenaga media PAS.

“kita mahu semua (unit) media (NGO) bergabung dan mampu di selaraskan untuk membantu ‘upgrade’ media kita,,

“sebagai NGO yang mampu menguasai pemikiran di alam maya dan terkesan dengan apa (isu) yang dikeluarkan oleh NGO kita,” katanya.

Ia adalah amat perlu, kata beliau, untuk melahirkan tokoh di kalangan NGO yang mampu menjadi pencetus dan menjadi suara kuasa ketiga.