Kerajaan Umno Terengganu Dijangka Meneruskan Dasar ‘Bajet Besar’ Kurang Berfaedah

799

Kerajaan Umno Terengganu dijangka akan meneruskan dasar membentang ‘bajet besar’ sekali lagi untuk tahun 2014 pada sidang DUN yang akan diadakan bermula 9 hingga 12 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal DUN, YB Dr Alias Razak berkata kerajaan telah meluluskan jumlah bajet sebanyak RM 9.462 bilion sejak tahun sejak 2009 dan ditokok dengan bajet tambahan menjadikan keseluruhannya lebih RM 10 bilion

“kerajaan telah luluskan melalui sidang dun bajet sebanyak RM1.8 bilion pada tahun 2009, RM 1.88 bilion pada tahun 2010, RM 1.887 bilion untuk 2011 RM 1.9 bilion untuk 2012 dan RM 1.995 bilion untuk tahun 2013,

“kemudian ditambah dengan bajet tambah pada setiap pertengahan tahun yang keseluruhannya bertjumlah lebih RM 10 bilion,”ujarnya.

dr aliasNamun begitu, kehidupan rakyat Terengganu masih dalam keadaan ‘melarat’ dimana katanya, masih ada anak-anak sekolah yang tidak mampu membeli alat tulis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan “Duit Hanya Cukup Beli Beras…..” yang mengisahkan tentang kehidupan malang rakyat, sebuah negeri yang kaya dengan sumber Petroleum.

Beliau menegaskan pihak kerajaan supaya mengambil berat ucapan Sultan Terengganu yang menitahkan supaya kerajaan membelanjakan duit dengan berhemah, memberi keutamaan dalam soal perbelanjaan yang perlu dan jangan membazir.

Katanya, laporan akhbar terbabit menunjukkan kebenaran bahawa masih ramai rakyat Terengganu yang miskin sekaligus bajet berbilion ringgit yang telah diluluskan tidak banyak mengubah hidup rakyat.

“Sultan bertitah pada hari pembukaan supaya kerajaan menumpukan soal-soal rakyat dan tidak membazir, dan kita menegaskan supaya perbelanjaan hendak diutamakan kepada program dan projek yang berfaedah,

“program e-book memang hebat bunyinya, tapi masih ada rakyat yang tidak mampu membeli alat tulis tidak mampu membawa wang saku dan pergi ke sekolah dengan perut kosong,”jelasnya.

Oleh itu, beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal menyeru supaya kerajaan mengubah dasar membangunkan projek-projek yang kurang berfaedah dan tidak memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Beliau juga memberi amaran, kenaikan harga barang dan perkhidmatan ekoran kenaikan harga minyak akan menambah ‘seksa’ rakyat.

“Penguatkuasaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) bermula pada 2015 akan mengheret kesusahan rakyat bermula tahun ini dengan kenaikan harga minyak,

“itu belum termasuk kenaikan keperluan hidup lain, elektrik, gas serta barang makanan harian,”katanya.

Justeru, beliau menyarankan, bajet negeri tahun depan sepatutnya menyiapkan infrastruktur untuk menjana dan menambah pendapatan rakyat bagi menghadapi masa depan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu.