Kerajaan PR Selangor Perlu Dicontohi

820

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor kerana telah mengambil satu langkah yang murni di dalam membina sebuah pentadbiran yang telus dan baik dengan pemberian beberapa keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Selangor, Y.B. Adun Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias daripada Barisan Nasional sejajar dengan imbuhan yang diterima oleh Ketua Pembangkang di peringkat Parlimen.

Dalam kenyataan beliau, Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan ketua pembangkang adalah salah satu komponen penting untuk ‘semak dan imbang’ kepada pemerintah sediada. Ketua pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.(http://www.malaysiakini.com/news/243496)

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor cukup yakin tindakan yang telah diambil ini boleh menyemarakkan satu siri politik baru yang lebih mulia dengan masing-masing pihak kerajaan dan pembangkang saling mengiktiraf dan menghormati sesama sendiri dan seterusnya membina seni politik berdasarkan penghujahan yang berfakta serta menolak politik sempit dan balas dendam.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga tindakan yang diambil ini juga dapat dicontohi oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain khususnya negeri yang diperintah oleh parti komponen Barisan Nasional yang masih lagi mengamalkan budaya politik samseng, jijik dan balas dendam kepada parti pembangkang di negeri masing-masing. 

MOHD SANY BIN HAMZAN
TIMBALAN KETUA PEMUDA
merangkapPENGERUSI LAJNAH POLITIK DAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR