

Dengan pendedahan ini, DPPM meminta pihak polis menyiasat kebenaran disebalik pendedahan yang dibuat oleh laman web tersebut, yang menggunakan domain ngoab.gov.bd, dan dipercayai laman web rasmi kerajaan Bangladesh. Jika benarlah seperti yang didakwa oleh laman web ini, DPPM kesal kerana ada pihak yang menjadi ‘gunting dalam lipatan’, ‘api dalam sekam’ terhadap kerajaan dan rakyat Malaysia.
DPPM menganggap isu ini sangat besar yang melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara. Dalam hal ini, DPPM mempersoalkan mengapa begitu longgarnya kawalan keselamatan negara terhadap pendatang asing sehingga mereka begitu mudah diberikan hak sama seperti rakyat Malaysia yang lainnya.


DPPM kecewa kerana dalam keadaan negara menyambut Hari Malaysia pada 16 September, ada pula pihak yang hilang nilai patriotisme terhadap negara sendiri. DPPM juga menganggap isu ini sebagai suatu pengkhianatan terhadap negara. Ini menunjukkan ada pihak sama ada individu mahupun agensi tertentu di kerajaan yang memainkan peranan menjual kerakyatan terhadap warga asing.
Dalam hal ini DPPM mendesak Kementerian Dalam Negeri menyiasat dan menjawab persoalan bagaimana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh mendaftarkan rakyat Bangladesh serta rakyat asing yang lain sebagai warganegara dan pengundi dengan mudah. DPPM juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana isu ini boleh berlaku serta mendakwa pengkhianat negara ini ke muka pengadilan. DPPM dan rakyat Malaysia tidak rela negara digadaikan kepada warga asing serta masa depan negara ditentukan oleh pengundi warga asing dalam pilihanraya akan datang.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan’
Dewan Pemuda PAS Malaysia


























