Kerajaan diminta jelaskan mengapa ‘ ranking U’ Malaysia merudum?

888

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Kementerian Pelajaran memberi penjelasan mengapa kedudukan universiti tempatan berada jauh di belakang malah tertinggal di bawah 200 universiti terbaik dunia.

Dalam kedudukan ‘QS World University Rankings 2013/14’, universiti terbaik di Malaysia iaitu Universiti Malaya jatuh 11 anak tangga dari kedudukan 156 pada 2012 kepada 167 pada tahun ini.

Meskipun media mempertahankan kedudukan Universiti Malaya [Gambar atas – Dewan Tunku Kanselor UM] berada dalam kelompok elit bawah ranking 200, namun hakikatnya ia merudum beberapa anak tangga. Selain UM, universiti lain ternyata masih jauh ketinggalan dan dilihat tidak berdaya saing dan maju untuk menempatkan diri dalam senarai universiti terbaik dunia.

Mengapa universiti-universiti lain di negara ini jauh ketinggalan berbanding dengan universitidi negara lain? Apa yang kurang pada universiti tempatan sehingga gagal menyaingi kehebatan universiti negara lain?

Ini menjadikan lebih sukar bagi rakyat luar negara datang untuk menimba ilmu di universiti tempatan kerana keyakinan mereka kepada tahap kualiti akademik dan reputasi universiti tempatan yang tidak seberapa.

DPPM melihat kerajaan gagal memberi perhatian dalam aspek pembangunan dan pendidikan negara sehingga tahap pencapaian universiti tempatan tidak mampu melonjak naik.

Mengapa segala kemudahan dan fasiliti terbaik yang dimiliki oleh universiti-universiti tempatan masih gagal mengangkat martabat kedudukan univerisiti tempatan di mata dunia atau berapa banyakkah lagi kerajaan perlu berbelanja bagi memastikan kedudukan universiti tempatan yang lain mampu menandingi universiti terbaik di rantau ini.

Kementerian Pendidikan perlu berbuat sesuatu bagi memastikan kedudukan universiti tempatan mempunyai daya saing yang tinggi dengan universiti luar. Aspek pendidikan terutama pendidikan tinggi perlu dipandang berat kerana ia merupakan suatu pelaburan penting negara.

Pendidikan menjamin masa depan yang cemerlang pada generasi muda selain daripada menyuburkan kepakaran dalam industri pekerjaan. Negara memerlukan bukti bahawa graduan Malaysia sama hebat dan setaraf dengan graduan luar negara dan mampu melonjakkan nama negara di mata dunia.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia