Kerajaan Baharu Selesai Lot Bazar Ramadan

4129

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Kerajaan baharu PAS telah turun padang, menyelesaikan kegelisahan 100 orang peniaga yang berkumpul di tapak Bazar Ramadhan bagi mendapatkan lot-lot perniagaan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, beliau memahami kekhuatiran para peniaga yang sangat berhajat untuk mencari rezeki pada bulan Ramadan di tapak ini seperti tahun-tahun terdahulu.

“Kita cukup mengetahui bahawa lot-lot niaga ini sememangnya saban tahun mendapat sambutan luar biasa oleh para peniaga,

“Dan lokasi yang strategik serta kuasa beli penguna yang cukup tinggi di sini,”katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah PAS Kemasik berkata demikian ketika di temui pihak media di tapak Bazar Ramadhan Kampung Baru, Kertih pada Sabtu, 12 Mei.

Katanya, walaupun PAS baru sahaja mengambil alih kerajaan namun bukan alasan untuk tidak membantu rakyat dalam pelbagai urusan.

“Beliau juga memberitahu kepada para peniaga bahawa mandat telah diberikan kepada Zakaria Ibrahim atau Pok De untuk mengetuai sebuah organisasi jawatan kuasa menguruskan bazar Ramadan berkenaan,

“Dan kita yakin sebagai seorang peniaga serta pemimpin masyarakat yang disegani Pok De mampu menguruskan tapak bazar Ramadan ini dengan baik,”ujar beliau.

Tambah Ir Saiful Azmi lagi, hampir 120 lot perniagaan bersaiz 10 x 10 kaki akan disediakan dengan bayaran minima dikenakan.