PAS Sarawak ingin merujuk dan memberi sedikit penjelasan tentang resolusi DAP Sarawak dan mengapa mereka tidak puas hati terhadap PAS Kelantan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan, dan tidak mahu PAS meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di Sarawak.
Seperti yang sedia maklum, Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Hukum Hudud) DUN Kelantan telah diluluskan sebelum kewujudan Pakatan Rakyat (PR).
Kanun Jenayah Syariah 1993 (Hukum Hudud) hanya akan dilaksanakan di Kelantan, bukannya di Sarawak seperti mana yang ditakuti oleh DAP Sarawak, maka semua isu yang dibangkit oleh DAP Sarawak tiada kaitan langsung dengan perundangan di Sarawak.
Dari segi demokrasi untuk mengujudkan undang-undang hudud dalam Sarawak perlukan 2/3 undi ADUN untuk pinda undang-undang tubuh Sarawak.
Kerajaan Kelantan termaktub kepada keputusan kerajaan negerinya untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan DAP Sarawak tidak berhak menyoal keputusan kerajaan negeri lain.
PAS telah memberi alasan bahawa Hudud di Kelantan tetap dilaksanakan sebelum wujudnya PR. Itu adalah hak PAS, PAS bersetuju untuk tidak bersetuju dalam hal tertentu dan tiada kompromi dalam prinsip perjuangan yang telah termaktub dalam perlembagaan PAS.
PAS juga tidak pernah menghalang mana-mana penganut agama di Malaysia untuk mengaplikasikan cara hidup beragama masing-masing kerana itu adalah hak dan peruntukan di dalam perlembagaan.
PAS juga nyata tidak mengkhianati agenda bersama dalam buku jingga berkaitan Agama Perkara 161E.
Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam mana-mana siri ucapannya akan sebut, PAS adalah Parti Setiakawan. PAS tidak akan khianati perjanjian dengan rakan seperjuangan.
PAS Sarawak sedar sokongan rakyat kepada mereka semakin meningkat malah majoriti undi adalah daripada Non Muslim. Apakah ini juga membuktikan agenda PAS selama ini ditolak oleh rakyat?
DAP Sarawak kena fikir secara rasional dan baik-baik sebelum memberi keputusan muktamad bersama PR kerana tanpa kerjasama dalam PR, mungkinkah DAP akan dapat menambah kerusi dalam Pilihanraya umum akan datang? Adakah sebelum wujudnya gabungan dalam PR, DAP mendapat kerusi lebih banyak seperti sekarang ini?
DAP Sarawak berhak membuat keputusan untuk keluar PR. PAS tidak akan menghalang jika ianya untuk kepentingan DAP Sarawak. Namun PAS ingin menegaskan bahawa setiap langkah yang tidak bijak akan membinasa sesebuah organisasi. PAS tetap akan memberi kerjasama dengan rakan PR lain sekiranya mereka masih memerlukan PAS.
Sebagai rakan dalam perjuangan, sepatutnya setiap masalah perlu di bawa ke meja rundingan secara dalaman bukan dengan meluluskan sesuatu resolusi tanpa mendapat pandangan dari rakan seperjuangan yang lain.
Kita sarankan agar satu sesi meja bulat khas taklimat mengenai Kanun Jenayah Syariah termasuk Hukum Hudud secara ilmiah agar rakyat lebih faham tentang cara perlaksanaannya.
PAS tetap istiqamah dalam perjuangan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama. Kita harap masalah ini dapat diselesaikan dan dibincang secara dalaman agar hubungan dalam PR terus kukuh dan tetap menjadi pilihan rakyat dalam Pilihanraya umum ke11 di Sarawak nanti. Allahu’alam
Tuan Haji Adam Ahid
Pesuruhjaya PAS Sarawak






























