Kenyataan Media Banjir ; Gelombang Kedua Lebih Teruk

1032

Banjir di negeri Terengganu berada pada peringkat gelombang ketiga dengan Daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu terlibat.

Hujan yang turun secara berterusan melanda tiga Daerah ini mengakibatkan kenaikan paras air di sungai-sungai utama seperti Sugai Kemaman di Air Putih, Sungai Dungun di Pasir Raja dan Sungai Berang di Kampung Menerong.

Keadaan menjadi lebih buruk dengan fenomena air pasang besar yang sedang berlaku dan diramalkan berterusan sehingga 27 Disember ini.

Sehubungan dengan itu, Bilik Gerakan Banjir PAS di kawasan-kawasan yang terlibat terus diletakkan dalam keadaan aktif serta berterusanmenjalankan kerja-kerja menyelamat dan menguruskan mangsa-mangsa banjir.

Setakat tengah hari ini, 22 Disember 2014, Kemaman antara daerah yang paling awal dilanda gelombang ketiga banjir. Bilik Gerakan Banjir PAS Kemaman melaporkan dari Kampung Seberang Tayor, Air Putih kemaman bahawa hujan masih lagi berterusan dan kadang-kadang berhenti, kadang-kadang lebat.

Air semakin naik melimpahi keseluruhan Kampung Seberang Tayor hilir, Kampung Seberang Tayor Hulu dan Felda Seberang Tayor. Air sungai memasuki kawasan kampung dengan arus yang sangat deras.

Buat masa ini, 25 keluarga telah dipindahkan sementara proses pemindahan masih dijalankan, namun hampir keseluruhan jalan utama untuk keluar dan masuk ke tiga-tiga kampung ini mula dinaiki air dengan paras yang agak tinggi. Setakat ini unit rondaan dan pemindahan, Bilik Gerakan Banjir PAS Kemanan telah mula menjalankan pemindahan mangsa ke tempat selamat serta berada dalam keadaan dalam siap siaga untuk sebarang kemungkinan lanjut menyusul

Bilik Gerakan Banjir PAS Kemaman juga melaporkan bahawa paras kenaikan air kali ini adalah lebih tinggi berbanding tahap kenaikan air pada gelombang banjir yang melanda kali pertama dan kedua lalu.

Sementara itu di Hulu Terengganu, Bilik Gerakan Banjir PAS Hulu Terengganu melaporkan, gerakan pembersihan rumah-rumah mangsa banjir diteruskan dibeberapa kawasan yang telah surut tetapi dalam masa yang sama hujan yang mula turun meningkatkan paras air di beberapa lokasi lain terutamanya di sekitar Dewan Undangan Negeri Telemong, antara yang paling teruk terjejas.

Bantuan keperluan harian juga diagihkan secara berterusan kepada mangsa-mangsa banjir dengan Bilik Gerakan Banjir PAS Kawasan Hulu Terengganu di Pejabat PAS Kawasan menjadi pusat pengumpulan barangan.

Di Daerah Dungun pula, Bilik Gerakan Banjir PAS Dungun menumpukan operasi di bahagian Hulu Dungun dengan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Besi paling teruk terjejas.

Sehubungan dengan perkembangan banjir yang berpanjangan ini, Pihak Jawatankuasa Operasi Banjir bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu akan mengambil satu langkah segera untuk mewujudkan ‘Dapur Rakyat’ bagi menyediakan bekalan makanan sedia masak kepada mangsa-mangsa banjir. Untuk peringkat pertama, satu ‘Dapur Rakyat’ akan diwujudkan di Bilik Gerakan Banjir PAS Hulu Terengganu.

Hal ini memandangkan dengan keadaan kehidupan penduduk terlibat banjir yang tidak teratur disebabkan kediaman yang masih ditenggelami air, sumbangan bekalan bahan-bahan mentah seperti beras, gula, sardin dan lain-lain lagi tidak banyak membantu meringankan beban kehidupan seharian mereka.

Walau dalam keadaan yang serba terbatas, kami akan terus memberikan khidmat terbaik sedaya yang mampu kepada rakyat.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Operasi Banjir PAS Terengganu.