Selaras dengan kedudukan harga RON97 yang dikatakan ditentukan oleh sistem apungan terus di mana turun naiknya bergantung harga minyak mentah dunia, kita meyakini dengan trend harga minyak di pasaran dunia sekarang, pengguna RON97 di Malaysia layak untuk menikmati harga yang lebih rendah dari RM2.80/liter.
Tinjauan rambang Lujnah Pengguna PAS Terengganu ke beberapa buah stesen minyak dari Besut hingga ke Kuala Terengganu mendapati, penurunan harga RON97 sebanyak 10 sen/liter tidak banyak mengubah trend pembelian pengguna malah ianya hampir tidak dihiraukan dengan ramai pengguna yang ditemui mengakui tidak tahu menahu dengan perubahan harga yang telah diumumkan 4 hari lepas. RON97 masih kekal menjadi bahan bakar ekslusif yang hanya mampu dinikmati oleh golongan tertentu sahaja khususnya pemilik kenderaan mewah.
“Mana bahagian kami?” soal seorang pemandu di Besut. “Kita rakyat biasa, lama doh tak ambik tahu hal minyak hijau (RON97), bakpo minyak kuning (RON95) dok (tak) turun sekali? Ko (ataupun) minyak kuning ni, ada di Malaysia jah (saja), tak dok tempat lain?” Soalnya lagi dengan nada kecewa.
Saya mampu memahami dengan mudah luahan ini, kerana kebanyakkan kita semua adalah pengguna biasa, yang mungkin kalau ada minyak dengan gred yang lebih rendah dari RON95, kita akan menjadi penggunanya yang setia. Prestasi dan qualiti bukan lagi persoalan utama, tetapi kelangsungan hidup perlu diteruskan dengan seadanya. Beginilah realiti bebanan hidup yang terpaksa ditanggung rakyat ekoran pelbagai kenaikan harga barangan keperluan khususnya petrol.
Saya tidak mendalami bidang petroleum secara khusus dan mendalam. Tetapi rakyat umum dapat memahami bahawa RON95 juga adalah produk ekstrak dari minyak mentah di samping ekstrak-ekstrak lain seperti kerosin, diesel, minyak jet, bintumin dan lain-lain.
Tiba-tiba bila harga minyak mentah dunia berlaku kejatuhan, ilmu petroleum pemimpin Umno/BN menyatakan, RON95 tak turun harga! Sama bodoh dengan suatu ketika dulu apabila ada pemimpin Umno kata, minyak keluaran negara kita hanya sesuai digunakan untuk enjin jet dan tak sesuai untuk kegunaan kenderaan!
Mengikut apa yang dipaparkan di kebanyakan stesen-stesen minyak seluruh negara, harga sebenar minyak RON95 termasuk cukai ialah RM3.53 seliter, manakala harga sebenar diesel termasuk cukai ialah RM3.26 seliter.
Harga runcit RON95 dan diesel masing-masing ialah RM1.90 seliter dan RM1.80 seliter, dimana kerajaan memberi pelepasan cukai dan subsidi sebanyak RM1.63 seliter dan RM1.46 masing-masing kepada RON95 dan diesel.
Masalahnya, adakah harga runcil petrol RON97 dijual betul-betul mengikut harga pasaran antarabangsa? Jika betul RON97 dijual mengikut harga pasaran antarabangsa, mengapakah harga jualannya pada masa sekarang (RM2.80 seliter) jauh lebih murah daripada harga petrol RON95, iaitu RM3.53 seliter?
Malahan harga RON97 yang berada di tahap RM2.80 seliter ini juga jauh lebih rendah daripada harga jualan diesel tanpa subsidi (RM3.26 seliter). Sistem apungan terus apakah yang digunakan oleh negara kita? Mengapakah RON97 boleh dijual dengan harga yang lebih murah daripada harga sebelum subsidi RON95 dan diesel?
Ataupun kerajaan persekutuan sebenarnya masih memberi subsidi kepada minyak RON97 tetapi ini tidak diterangkan kepada rakyat? Ataupun harga sebenar RON95 dan diesel yang dipamerkan adalah rekaan semata-mata untuk menunjukkan kononnya kerajaan mengutamakan rakyat?
Kalau benar ada subsidi yang dibayar, untuk siapakah subsisdi itu telah dibayar? Pengusaha stesen minyak? Syarikat minyak? kilang penapis minyak ? Atau untuk siapa? Memang soalan sebegini berbunyi bodoh! Tapi perkara bodoh inilah yang rakyat mahu tuntut penjelasan.
Kerajaan perlu berterus-terang kepada rakyat dan seterusnya menurunkan harga runcit samada RON97, RON9, diesel dan juga gas memasak berikutan dengan kejatuhan harga minyak mentah antarabangsa.
Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar
PAS Negeri Terengganu