Kenaikan Cukai Pintu Bukan Setakat 600%, 1000% Pun Ada!

2330

Terlebih dahulu Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu yang baru, Dato ‘ Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman kerana bertindak segera membincangkan isu kenaikan cukai pintu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bila kali pertama mempengerusikan Mesyuarat Exco ke-16 semalam.

Sebaliknya, Jawatankuasa merasa kesal apabila Menteri Besar menyangkal hakikat jumlah sebenar kenaikan cukai pintu yg dicadangkan oleh MBKT adalah setinggi kadar 600 % dari jumlah tahunan yang biasa dibayar oleh pemilik-pemilik bangunan sebelum ini.

risalah cukai pituJawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu ingin merujuk kepada Notis Semakan Senarai Nilaian yg dikeluarkan oleh MBKT yang secara jelas dan nyata bukan sekadar menyatakan Nilai Tahunan Bangunan, tetapi juga menyatakan Kadar Cukai Taksiran dan seterusnya menyatakan dengan terang dan jelas Jumlah Cukai Taksiran yang akan dikenakan kepada pemilik bangunan.

Oleh kerana itu kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan YAB Menteri Besar bahawa ia adalah sekadar dakwaan pembangkang dan menunjukkan MB tidak sensitif kepada aduan rakyat.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu, saya bersedia bila bila masa mengulangi kenyataan kami terdahulu bahawa kenaikan jumlah bayaran cukai pintu dari notis yg dikeluarkan oleh MBKT ini adalah memang benar benar meningkat sehingga 600 % dan ada kes yang sehingga 1000% berbanding bil cukai pintu yang sedia ada. Saya sedia disaman jika benar kenyataan saya ini tidak betul.

Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu mengalu-alukan kenyataan YAB Menteri Besar untuk mengkaji balik kenaikan ini dan ingin menyatakan pendirian Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu bahawa kami tidak dapat dan akan menerima sebarang kenaikan ketika ini.
Tidak ketika rakyat ramai yang miskin dan terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tidak ketika Kerajaan Negeri Terengganu sebenarnya mempunyai peruntukan Belanjawan antara yg tertinggi dalam negara tapi dihabiskan pada perbelanjaan yg merugikan rakyat dan negeri.

Tidak juga selagi MBKT masih gagal meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan awam agar setaraf dengan kedudukan Bandaraya nya.
Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu dengan ini juga menyeru seluruh rakyat agar meningkatkan bantahan dengan menzahirkannya agar mesej rakyat difahami sepenuhnya oleh Kerajaan Terengganu. Tempoh akhir Bantahan Bertulis yang ditetapkan oleh MBKT adalah pada 2hb. Jun 2014.

Sekian dengan hormatnya dan terima kasih.

Hj Ahmad Amzad Hashim
Pengerusi
JAWATANKUASA BERTINDAK ISU CUKAI PINTU TERENGGANU