Kena Faham Sikap PAS Terhadap Parti Dan Orang Umno

1723

KUALA TERENGGANU – Sehingga sekarang, lawan politik PAS di negeri Terengganu ialah Umno dan tanpa Umno maka PAS tidak ada lawan yang boleh menyaingi PAS di negeri ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu Dr Azman Ibrahim, parti-parti lain tidak mempunyai kekuatan ‘politik’ di negeri ini.

“PAN tak wujud di alam nyata, PKR ada nama saja………dan DAP adalah sikit di DUN Bandar.

“Ini adalah realiti. Berpuluh tahun kita (PAS) lawan Umno dan sehingga sekarang kita bekerja dan terus bekerja untuk mengalahkan Umno,”tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi komen tentang kedudukan PAS menghadapi persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) Kali Ke-14 akan datang.

Menurutnya, banyak komen dan persoalan yang timbul, kononnya mendakwa, PAS akan bergabung dengan Umno berikutan kehadiran Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pada Himpunan Solidiriti Rohingya ahad lalu.

IMG-20161204-WA0119Beliau berkata, harus dibezakan, sikap PAS terhadap parti dan ahli-ahli, yang merupakan orang awam.

“Tapi ada beza antara lawan parti Umno dan sikap kita terhadap orang Umno. Ada perkara kita boleh sepakat bersama.

“Mak mertua ambo asal Umno. Alhamdulillah………sekarang sudah tak nampak Umno lagi. Ambo mintak nak kahwin dengan anak dia dan dia setuju terima ambo sebagai menantu.

“Ini dinamakan persepakatan bersama. Ambo tetap tak join Umno. Keluarga ambo yang turun temurun PAS dan keluarga mertua ambo bersatu jadi besan.

“Keluarga ambo tetap juga PAS. Tak salah kan ambo jadi menantu orang Umno?,”ujar beliau pada catatan laman sosialnya.

Beliau berkata, ramai di kalangan kawan-kawan yang mengunjungi klinik beliau, untuk mendapatkan rawatan pergigian juga orang-orang politik, terutamanya dari parti Umno.

“Mari pesakit seorang pemimpin Umno Kubang Kerian ke klinik. Lepas bincang masalah dia, kami sepakat dengan rawatan yang perlu dibuat dan kos rawatan.

“Maka ambo pun buatlah rawatan. Lepas siap rawatan, dia pun bayar pitih.

“Walau dia Umno dan ambo PAS, ini tak dinamakan persepakatan Umno-PAS. Tapi persepakatan bersama atas kepentingan orang sakit dan doktor,” jelas beliau.

Oleh itu, masyarakat pada umumnya, menurut beliau, perlu mengetahui perkembangan semasa dan jangan terpengaruh dengan tohmahan pihak tertentu yang mahu mengelirukan kedudukan PAS masa kini.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat memberi penjelasan mudah terhadap dakwaan ‘musuh-musuh’ PAS.

“PAS akan bertanding pada 32 kerusi DUN pada pilihanraya akan datang,”tegasnya.