Kempen Derma Darah Tahun Ke-12

2040

KUALA NERUS – Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT) menganjurkan kempen derma darah kali ke-12 pada Ramadan tahun ini.

Koordinator program Cikgu Razali Mat Yunos berkata, kempen musim ini mensasarkan sejumlah lebih 800 pek darah, dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Secara purata HSNZ perlukan sebanyak 250 pek darah seminggu…..dan kita optimis ‘target’ bagi mendapatkan sejumlah 650 hingga 800 pek darah melalui kempen bulan Ramadan ini tercapai,

“Kerana sambutan di kalangan masyarakat umat Islam bagi menjayakan kempen tersebut amat memberangsangkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kempen tersebut yang diadakan di Masjid UniSZA Gong Badak, di sini pada Khamis malam, 15 Jun.

Cikgu Razali berkata tempoh 12 tahun berturut-turut pihak YAMCT mengadakan kempen derma darah secara istiqamah bukan suatu yang mudah.

Menurutnya, melalui kempen itu tahun ini sebanyak 19 buah masjid di lima daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu dan Besut mengambil bahagian.

“Kami buat selepas solat tarawih di beberapa buah masjid terpilih di lima buah daerah sepanjang bulan Ramadan ini. Setiap tahun berlaku peningkatan jumlah pack darah yang berjaya disumbangkan oleh orang ramai,” jelasnya.

Katanya, pada tahun 2016 sebanyak 793 pack darah berjaya dikumpulkan dan dijangka meningkat 10 peratus pada tahun 2017 sebanyak 873 pack.

Menurutnya, Masjid Batu Burok tahun 2016 sebanyak 35 pack dan 2017 (37 pack), Masjid Kubang Ikan, Tepoh 38 pack, Surau Gelong Bilal, Kuala Terengganu (23 pack), Masjid Rhu Muda, Marang (36 pack), Masjid At-Taqwa Durian Burung (40 pack), Masjid Titian Baru, Marang (46 pack), Masjid Padang Landak, Besut (33 pack), Masjid Jamek Pengadang Baru ( 88 pack) dan beberapa buah masjid lagi belum selesai.