Kemiskinan Satu ‘Agenda’ Jahat Umno

2327

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – PAS melihat keadaan kemiskinan yang berterusan di Seberang Takir seolah-olah ada suatu ‘usaha’ di peringkat kerajaan Umno Terengganu supaya rakyat terus berada dalam keadaan miskin.

Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, walaupun negara kita semakin maju namun berdasarkan kepada kajian

bertajuk, ‘Miskin Bergenerasi dan Mobiliti Kemiskinan di Seberang Takir’ yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tahun lalu, hampir 30 peratus penduduk di DUN Menteri Besar Terengganu ini berada dibawah paras kemiskinan.

“Kesan daripada kemelaratan kehidupan menyebabkan rakyat terus bergantung pada mereka (kerajaan),

“Keadaan ini menyebabkan rakyat boleh digula-gulakan dan boleh diperintah untuk melakukan sesuatu benda yang mana akhirnya rakyat terpaksa ikut telunjuk mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Klinik Kesihatan Seberang Takir dalam lawatan sempena Hari Jururawat yang disambut 12 Mei setiap tahun.

Menurutnya, kemiskinan dan kejahilan itu sendiri merupakan perkara yang membolehkan mereka (kerajaan) untuk menguasai rakyat ataupun supaya rakyat sentiasa bergantung kepada kerajaan.

“30% orang miskin di DUN Seberang Takir merupakan satu angka yang agak besar yang memberikan gambaran kepada kita bahawa sepanjang tempoh kerajaan Umno memerintah khususnya di Seberang Takir, sebab tempat ini tempat Menteri Besar sendiri,

“Kajian ini, jelas beliau, menunjukkan kerajaan Umno gagal untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

“Dan insya Allah di peringkat PAS Seberang Takir sendiri, kita sentiasa mengambil cakna kepada rakyat di sini,

“Walaupun dalam kemampuan yang sangat terbatas tanpa ada peruntukan daripada mana-mana ….. sekadar kita dapat sumbangan daripada pihak-pihak yang simpati untuk kita agihkan kepada golongan yang memerlukan,

“Walaupun tidak dapat membantu sepenuhnya sekurang-kurangnya dapat sebahagian meringankan beban yang ada di kalangan orang miskin”, tegas beliau.

Ustaz Zakaria mewakili Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Jururawat sempena dengan sambutan Hari Jururawat Sedunia yang di sambut pada setiap 12 mei setiap tahun.

“Kita (PAS) turut menghantar sebiji kek sempena Hari Jururawat ini sebagai tanda sokongan dan penghargaan kita kepada peranan yang dimainkan oleh para jururawat selama ini dalam membantu orang sakit dan sebagainya,

“Kerjaya jururawat ini sendiri dari segi sejarahnya ataupun tarikh 12 Mei itu kalau ikut sejarahnya tarikh lahir kepada pengasas jururawat yang diiktiraf oleh dunia iaitu Florence Nightingle”, jelas beliau.

Menurutnya lagi, sebenarnya pada zaman Rasulullah SAW sendiri jauh lebih dulu (kerjaya jururawat). Zaman pada ketika Perang Badar sendiri maknanya 1088 tahun sebelum itu telah berlaku.

Para Sohabiah sendiri telah berperanan sebagai jururawat dalam Perang Badar, Perang Uhud, Perang khandak, Perang khaibar dan sebagainya.

“PAS sangat menghargai kerjaya jururawat dan berharap dengan sambutan kali ini, insya Allah akan memberikan semangat baru kepada para jururawat kita agar terus berkhidmat kepada masyarakat,

“Mudah-mudahan di beri ganjaran yang besar di sisi Allah SWT atas amal bakti yang dilakukan”, doa beliau.