Kembalikan Semula Kuasa Sultan Dan Kuasa Negeri.

637

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/01/dppselangor.jpg– Adakan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang Segera.
Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (Dppns) menyokong pindaan enakmen yang bakal dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor berkenaan untuk mengembalikan kuasa Negeri dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio iaitu:  Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Pindaan itu bertujuan mengembalikan prosedur untuk pelantikan tiga pegawai tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ianya dipinda pada 1993.

Menteri Besar dalam kenyataannya menyebut bahawa Tuanku Sultan telah memperkenankan untuk diadakan sidang Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.

Jelasnya lagi, pindaan yang kerajaan negeri akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal berikut: “Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Dengan syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”

DPPNS mengambil peluang ini untuk merafak sembah dan merakamkan penghargaan kepada DYMM Sultan Selangor Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan perkenan yang telah diberikan kepada Dato Menteri Besar untuk mengadakan sidang pada 24 Januari ini.

Secara asasnya, memang tidak menjadi masalah seseorang yang dipilih di peringkat persekutuan untuk bekerjasama dengan kakitangan di peringkat negeri jika prinsip federalisma benar-benar didokongi tetapi realiti adalah sebaliknya.

Pindaan ini perlu demi mencari keserasian bekerja di kalangan exco dan seluruh kakitangan kerajaan negeri tanpa sebarang syak wasangka dan keraguan yang akhirnya akan mencacatkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

Adakan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang Segera.

Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (Dppns) menyokong tindakan Speaker Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengumumkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.
Keputusan yang dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri itu wajar kecuali jika Badrul dapat mengemukakan bukti-bukti sahih secara hitam putih yang diperakui bahawa beliau ada menghadiri mana-mana sidang sejak dari 15 Julai 2010.
Mengikut Artikel 69 Perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.
Pemilihan semula amat wajar dijalankan kerana tugas paling penting seorang wakil rakyat ialah mewakili rakyatnya ke sidang DUN untuk membela dan memberi perkhidmatan kepada semua rakyat di dalam DUN masing-masing khususnya para pengundi yang telah memberi kemenangan kepada wakil rakyat tersebut.
‘Yang Berhormat’ baru perlu dipilih jika yang sedia ada telah tidak berupaya membela nasib rakyatnya.

Sehubungan dengan itu, DPPNS berharap agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan meneliti dan seterusnya mengistiharkan pilihanraya kecil DUN Pelabuhan Klang dengan segera sekiranya Badrul gagal membuktikan dakwaan Speaker Kerajaan Negeri Selangor.

SPR telah mengistiharkan pilihanraya kecil DUN Tenang pada 24 Disember 2010 selepas mendapat notis kekosongkan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya Sulaiman Taha pada 17 Disember 2010.

DPPNS berharap agar SPR akan mengambil masa yang singkat untuk mengistiharkan pilihanraya kecil DUN Pelabuhan Klang sebagaimana tempoh seminggu dalam kes DUN Tenang dan biarlah pilihanraya kecil Pelabuhan Klang juga dibuat pada hari cuti seperti yang diistiharkan di Tenang.
____________________________________________________________________________________________________
** Kedua-dua kenyataan media diatas dikeluarkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor