MARANG – Rakyat negeri ini diingatkan agar tidak melepaskan peluang pilihan raya kali ini bagi mengembalikan semula kerajaan PAS yang pernah memerintah Terengganu dengan baik.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ustaz Mohd Shafie Ngah berkata mandat yang diberikan oleh rakyat mahukan sebuah kerajaan yang baik serta boleh menjaga kebajikannya.
Menurutnya, setiap tahun kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi menyediakan kemudahan percuma tersebut.
“Kita (Selangor) tidak boleh buat banyak, kita boleh bagi cukai pintu rumah kediaman percuma, boleh bagi air percuma, boleh bagi (perkhidmatan) bas percuma dan tidak banyak yang boleh kita bagi (beri) kepada rakyat.
“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM400 juta setahun untuk mempercumakan perkara-perkara itu, kerana mandat yang diberikan itu mereka (rakyat) mahukan kerajaan yang baik.
“Terengganu sendiri pernah ditadbir oleh sebuah kerajaan (PAS) negeri yang baik, yang sebegitu rupa. Maka, jangan lepaskan peluang sekali lagi wahai rakyat Terengganu untuk mengembalikan kerajaan (negeri) ini kepada PAS,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Usahawan dan Exspo HARAP 3.3 di Kampung Padang Mengkuang, Pengkalan Berangan, di sini, Rabu malam, 24 Februari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi itu juga menegaskan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu tahun 2004, bukan berpunca penolakan rakyat tetapi dengan penipuan.
Beliau berkata, peningkatan jumlah peratusan pengundi luar biasa pada pilihan raya tersebut membawa kepada kejatuhan kerajaan PAS itu.
“Kita (rakyat) masih ingat kejatuhan kerajaan Terengganu pimpinan PAS tahun 2004, yang bukan (punca) disebabkan penolakan rakyat Terengganu tetapi berlaku peningkatan pengundinya.
Justeru itu Kata beliau, biar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang, rakyat Terengganu sendiri menentukan corak pemerintahannya.
“Kini orang-orang muda sudah faham bahawa hak mengundi hanya satu dan usah biarkan orang luar datang untuk memberikan undi kali kedua bagi kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) Terengganu.
“Biar orang Terengganu sendiri membuat keputusan dan jagalah jangan sampai ada orang luar masuk, pengundi luar masuk untuk menentukan siapa yang patut menjadi pemimpin bagi negeri Terengganu ini.
“Orang Terengganu sudah lama menunggu, yang pergi ke bandar sudah balik berkali-kali memberi pesan kepada penduduk kampung, ibu dan bapa untuk memberikan undi yang benar.
“(Undi) kepada parti yang layak memerintah negeri Terengganu iaitu PAS dan sekiranya ada parti PKR kita meraikan mereka sebagai sebahagian daripada kita,” tegasnya.
Sebelum itu beliau turut melancarkan kempen kitar semula dan kepmen anti politerina peringkat PAS negeri Terengganu.