Kami ingin melahirkan rasa yang sangat bimbang berkenaan perkembangan yang berlaku dalam parti kebelakangan ini. Kami merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat oleh beberapa anggota kepimpinan yang mencerminkan kelunturan thiqah serta taat kepada pimpinan tertinggi khususnya Presiden dan Al-Mursyidul ‘Am dan juga instusi tertinggi yang mengemudi perjalanan parti iaitulah Majlis Syura Ulama.
Secara umum kita menerima perbezaan pandangan di kalangan sesiapa sahaja dan dalam segala hal. Tetapi ada tempatnya, masanya dan caranya pandangan yang berbeza itu harus disuarakan. Namun apabila suatu kenyataan yang menyatakan pendirian dalam sesuatu perkara, telah dikeluarkan oleh amir jamaah yang berpangkat Al-Musyidul ‘Am atau pun Presiden amatlah tidak patut ada kenyataan-kenyataan lain yang bercanggah harus dikeluarkan oleh sesiapa sahaja sama ada secara terbuka atau pun tertutup. Ianya berbeza jika disuarakan secara tertutup bertujuan untuk perbincangan mendapatkan pandangan dan keputusan serta perdirian yang lebih baik tetapi tidak sekali-kali secara terbuka.
Kita tidak boleh terima sekiranya sesuatu teguran dibuat oleh sesiapa sahaja sama ada ahli kepada pemimpin atau sebaliknya dengan cara yang tidak sewajarnya. Teguran tidak seharusnya menjatuhkan air muka seseorang yang ditegur. Membuat kenyataan yang menunjukkan percanggahan antara kepimpinan, ahli dengan kepimpinan adalah sama sekali tidak boleh diterima. Ianya lebih serius dari kenyataan yang bersifat teguran.
Alangkah mulianya sekiranya keterlanjuran yang berlaku disusuli dengan permohonan maaf dari pihak yang berkenaan, demi menjaga keharmonian dalam menjaga silaturrahim sesama manusia, demi menjaga keutuhan jamaah dalam konteks ukhuwwah dan juga demi kerana ALLAH. Apa lagi keterlanjuran tersebut dikritik malah dikecam pelbagai pihak, sangat patutlah ungkapan yang sangat mulia, dipuji oleh ALLAH dan Rasul-NYA dihulurkan oleh pihak berkenaan, yakni memohon kemaafan.
Sekiranya langkah mulia yang mencerminkan ketinggian keperibadian ini tidak berlaku maka kami tidak mempunyai tafsiran lain melainkan mengatakan bahawa akhlaq mereka sudah terjejas. Tidak boleh sekali-kali membiarkan mana-mana individu berterusan merosakkan imej kesepaduan fikrah dalam jamaah. Dan sekiranya ianya tidak dapat dibendung, tidak ada pilihan lain melainkan individu-individu berkenaan hendaklah disingkirkan dari jamaah demi menjaga maslahah yang lebih besar. Ya, ianya langkah yang berat untuk diambil. Ya, ianya sangat pahit untuk ditelan. Sekiranya ianya dilihat dan diyakini akan memberi natijah yang lebih baik, yang berat harus dipikul dan yang pahit harus ditelan.
Kami pohon maaf kepada pimpinan yang sangat kami hormati dan sayangi sekiranya pandangan sebegini juga tidak sepatutnya dibuat, namun atas desakan dan keperihatinan ahli terbanyak kami merasakan pendirian kami harus diutarakan. Kepada mereka kami doakan agar dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang baik dan dikuatkan semangat untuk terus melayari bahtera penyelamat ummah ini.
M. SHUKRIMUN BIN SHAMSUDIN
Bendahari PAS Terengganu/
Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus
14 Syawwal 1435
10 Ogos 2014




























