Kelas ‘Roti Dan Biskut’ Tarik Minat Golongan Remaja

1932

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Kelas membuat biskut dan roti anjuran Muslimat PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Ketuanya Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, kelas yang diadakan secara percuma itu mendapat perhatian di kalangan remaja dengan penyertaan sehingga 40 orang setiap kali diadakan.

“Kelas tersebut diadakan di lokasi yg berbeza di seluruh kampung dalam DUN Teluk Pasu,

“Kita akan sentiasa memaklumkan setiap kali kelas akan diadakan melalui poster, handbill, whatsApp, Facebook dan sebagainya”, jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Semarak Kasih Ramadhan yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Teluk Pasu, semalam, disini.

Justeru itu, beliau berharap agar para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari bagi meningkatkan aktiviti ekonomi keluarga dan masyarakat.

“Saya berharap para peserta agar mampu menggunakan ilmu yang ditimba untuk menyediakan hidangan tersebut untuk keluarga sendiri tanpa perlu beli di kedai,

“Dan sudah pasti ini akan dapat menjimatkan wang”, ujarnya.

Katanya, sudah pastilah ilmu yang diperolehi itu dapat membuka perniagaan roti dan biskut disamping mampu menambah pendapatan keluarga.

“Ilmu yang kita perolehi ini, ajarlah pula kepada masyarakat yang lain. Semoga ianya akan menjadi pahala yang berpanjangan buat kita apabila pulang menemui Tuhan Sekelian Alam”, seru beliau.