Kekalkan tradisi amalan syura dalam pemilihan

1041
http://buletinonline.net/images/stories/berita46/mesyagungknerus%20061.jpg

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/04/mesyagungknerus%20061.jpgKUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah meminta semua ahli PAS mengekalkan amalan tradisi parti itu yang tidak mempertandingkan jawatan Presiden pada Muktamar Pas, Jun depan.

Menurut ustaz Abu Bakar, dalam amalan syura, jawatan tertinggi parti itu telah dipersetujui tidak dibuka kepada pertandingan dan ia dilihat sebagai salah satu cara yang boleh mengekalkan keharmonian parti daripada sebarang perpecahan.

Bagaimanapun katanya, walaupun secara tradisinya kerusi Presiden diminta tidak dicabar oleh mana-mana pihak, namun dari segi perlembagaan parti, kedudukan jawatan itu sebenarnya boleh dipertandingkan.

“Keadaan itu jarang berlaku (mencabar jawatan presiden), setengahnya mungkin mahu tarik perhatian tetapi saya tidak menuduh begitu.

“Bagi saya, kita ikutlah amalan secara syura iaitu jawatan presiden tidak dipertandingkan dan lebih baik kita kekalkan budaya itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini kelmarin.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa dalam soal PAS Kawasan Bukit Bintang mencadangkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa mencabar Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi bagi jawatan Presiden parti itu pada muktamar kali ini, mana-mana pihak bebas membuat cadangan.

Ustaz Abu Bakar berkata, parti itu tidak pernah menghalang ahli-ahli parti membuat cadangan dan keadaan itu membuktikan keterbukaan Pas.

Bagaimanapun, beliau tetap meminta supaya semua pihak mengekalkan tradisi parti iaitu tidak melibatkan sebarang pertandingan bagi jawatan presiden.

Dalam masa sama, Abu Bakar turut mencadangkan supaya jawatan kedua tertinggi parti iaitu timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam Muktamar PAS sebagaimana kerusi Presiden.

Menurutnya, keadaan itu boleh mengekalkan perpaduan dalam parti, walaupun menafikan berlaku sebarang pergolakan apabila ia melibatkan pertandingan bagi merebut jawatan itu.

Beliau melihat cadangan itu perlu mengikut amalan secara syura sebagaimana yang berlaku terhadap jawatan presiden yang telah dipersetujui sebulat suara supaya ia tidak dipertandingkan.

“Kalau boleh jawatan timbalan tidak dipertandingkan sebagaimana jawatan presiden yang sudah menjadi amalan pada peringkat Pusat walaupun jawatan itu dibolehkan jika mengikut perlembagaan parti,” katanya.