Kekalkan ‘politik baru’ selesai krisis berpanjangan

972

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/07/drdzul.gifKUALA TERENGGANU – Pakatan Rakyat mengharapkan landskap ‘politik baru’ yang telah bermula sejak Tsunami 2008, dapat dijayakan oleh rakyat untuk mengeluarkan mereka daripada krisis yang berpanjangan di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad berkata, ‘politik baru’ itu perlu dikekalkan bagi memastikan peralihan politik akan berlaku untuk menamatkan krisis-krisis tersebut seperti harga barang, rasuah dan sebagainya.

“Sekiranya rakyat silap mencongak politik, ia akan kembali kepada politik lama yang akan mengakibatkan mereka dalam krisis berpanjangan.

“Apa yang perlu ditekankan, politik baru itu bukan politik Pakatan Rakyat (PR) tetapi politik yang bertujuan untuk membawa keseimbangan dalam sistem demokrasi,” katanya dalam ceramah rakyat di Kampung Duyong, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, rakyat berkuasa mengangkat mana-mana pemimpin untuk memimpin negara dan berkuasa untuk menurunkan sesiapa sahaja.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka menolak politik tidak matang, sambil menjelaskan politik matang tidak akan melakukan ugutan, menakut-nakutkan rakyat atau memberi rasuah kepada rakyat.