Kekal jawatan, Hadi bukti bukan liabiliti

447

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan beliau bukan bebanan kepada parti, sebaliknya terus dipercayai ahli apabila kekal menerajui parti itu kerana tidak dicabar pemimpin lain dalam pemilihan Muktamar Pas, bulan depan.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, ia sekali gus ‘memperlekehkan’ komentar-komentar pahit yang dibuat individu tertentu sebelum ini bahawa Abdul Hadi menjadi liabiliti kepada parti.

“Presiden Pas (Abdul Hadi) bukan beban dan orang Pas masih menyokong kepimpinan Hadi dengan mengekalkan beliau sebagai Presiden. Beliau tidak perlu ditandingi,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Sinar Harian 18 Mei lalu melalui kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Pas setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan itu.

Abdul Hadi kekal menerajui parti itu sekurang-kurangnya sehingga 2013, iaitu penggal kelima buatnya apabila tidak dicabar pemimpin lain pada pemilihan, Jun ini.

Sementara itu, Harun ketika mengulas mengenai enam calon yang diumumkan layak bertanding bagi jawatan timbalan presiden hanya mengucapkan ‘selamat bertanding’ kepada pemimpin yang berminat merebut jawatan itu.

“Bertanding ramai biar rakyat menentukan pemimpin pilihan mereka. Ia akan memberi peluang kepada ahli dan calon untuk menentukan khidmat dalam kepimpinan Pas penggal akan datang,” katanya.- SH