Oleh: Ahmad Hilmi
BESUT – PAS Kawasan Besut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak boleh berkompromi dalam sebarang perjanjian perdagangan atau kerjasama antarabangsa yang melibatkan mineral nadir bumi (REE), bagi memastikan kedaulatan negeri terus terpelihara.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, segala bentuk rundingan dan komitmen berkaitan REE perlu mendapat kelulusan serta libat urus rasmi Kerajaan Negeri sebelum dimeterai.
“Kedaulatan negeri bukan boleh dipinjam, apatah lagi dijual atas meja rundingan antarabangsa. REE dalam sempadan Terengganu adalah hak negeri,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menambah, peruntukan perlembagaan jelas memberi kuasa kepada kerajaan negeri terhadap tanah, mineral dan hasil bumi.
Justeru itu, katanya, sebarang penerokaan, pelaburan, eksport atau pembangunan berkaitan REE mesti diluluskan oleh negeri.
“PAS Besut turut mengingatkan agar tiada cubaan ‘memintas’ hak negeri melalui istilah longgar seperti “kerjasama strategik” atau “perjanjian timbal balik” yang tidak melibatkan kerajaan negeri secara langsung.
“Apa jua kerangka kerjasama, negeri mesti berada di meja keputusan dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan,” tambah Mohd Nurkhuzaini.
Dalam masa sama, parti itu menyokong pelaburan yang membawa nilai tambah kepada rakyat seperti peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta pembangunan rantaian hiliran, dengan syarat prinsip ketelusan, kelestarian alam sekitar dan kedaulatan negeri dihormati sepenuhnya.
“Menekankan tiga garis panduan, libat urus kerajaan negeri secara bermakna, ketelusan agihan manfaat kepada komuniti setempat, serta pematuhan ketat terhadap aspek kelestarian alam sekitar,” tambah beliau lagi.





























