Kedah Batalkan Lesen Premis Judi

94

Kerajaan Negeri Kedah melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengumumkan bahawa tidak akan lagi mengeluarkan mana-mana kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri Kedah dan menghadkan penjualan minuman keras secara terbuka kepada semua pengguna bukan Islam di semua PBT.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor bahawa keputusan berkenaan diambil hasil daripada perbincangan dalam Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri pada minggu lalu.

Terdapat dalam kalangan pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan mereka menentang tindakan Kerajaan Negeri Kedah dengan alasan kononnya ia menyentuh hak bukan Islam. Inilah alasan yang sama disebutkan apabila Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu memulakan langkah yang sama suatu ketika dahulu.

Sebaliknya mereka langsung tidak pernah mempedulikan hak penganut Islam dan kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengharamkan judi sepenuhnya kepada penganut Islam. Malah penganut agama lain juga melarang judi dalam agama mereka.

Sebelum memulakan langkah tersebut di Kelantan pada tahun 1990, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah berdialog dengan pemimpin bukan Islam dan pemilik premis judi dan bertanyakan mereka dari segi agama yang dianuti.

Apabila dinyatakan bahawa agama mereka menghalalkan arak dan mengharamkan judi, maka kerajaan memberikan kebenaran premis arak untuk beroperasi kepada bukan Islam sahaja dan melarang mengeluarkan lesen premis kepada semua jenis perjudian.

Apa yang paling dikesali apabila kuasa untuk memberikan kebenaran lesen arak dan judi di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan. Sementelah, Menteri Kewangan pada waktu itu dipegang oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sahabat kami yang juga merupakan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Kedudukannya yang tinggi pada ketika itu dengan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak bertindak dengan betul bagi membantu tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Sebaliknya kami dihadiahkan dengan masalah kewangan secara birokrasi oleh kementeriannya.

Apabila terdapat kenyataan daripada pemimpin DAP menentang tindakan Kerajaan Negeri Kelantan tidak memberikan kebenaran lesen premis judi dan menghadkan penjualan minuman keras, Tuan Guru Nik Abdul Aziz rahimahullah membuat kenyataan:

“Bahawa kami tidak menghalang kamu minum arak sehingga pecah perut.”

PAS juga menerima ucapan terima kasih daripada kaum wanita dan isteri-isteri dalam kalangan bukan Islam yang menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kelantan.

Sikap DAP yang tidak berubah sehingga kini merupakan sebab mengapa PAS diputuskan hubungannya oleh DAP. Bukannya PAS yang terlebih dahulu memotong tali hubungan antara kedua-dua buah parti.

Kami juga mendapat maklum balas, betapa dalam DAP ada juga yang tidak bersetuju dengan sikap agresif pemimpin mereka yang bertindak mencampuri urusan agama Islam dan para penganutnya. Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang disingkirkan daripada DAP kerana tidak bersetuju dengan pendekatan yang melampau.

DAP bersikap campur tangan terhadap setiap pelaksanaan Islam yang dibuat oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS atau tuntutan PAS yang mendesak kepada pelaksanaan Islam. Sekalipun apa yang dilakukan itu sebenarnya mengikut lunas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan langsung tidak menyentuh hak penganut agama lain.

PAS tidak merasa hairan, apabila kini wujud kerjasama yang erat antara DAP dan PKR. Begitu juga, tindakan mereka di sebalik penubuhan sebuah parti yang dinamakan Parti Amanah Negara bagi menjadi tempat berlabuh kepada segelintir pemimpin PAS yang dikira mengkhianati perjuangan dan melanggar baiah. Malah, kami tahu di mana mereka bermesyuarat dan merancang bagi menubuhkan parti alternatif kepada PAS supaya bersama mereka.

Maka, ucapan syabas diberikan kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Menteri Besar Kedah yang meneruskan apa yang selama ini diperjuangkan, dalam bidang kuasa dan kemampuan yang dimiliki.

Kedah Darul Aman tidak lagi mengalami sekatan politik khususnya dari segi kewangan oleh Kerajaan Pusat sepertimana yang dilakukan oleh Menteri Kewangan pada zaman itu. Alkisah, apa yang tidak dilakukan oleh Tun Daim Zainuddin ketika menjadi Menteri Kewangan.

PAS berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kedah tersebut. Akan tetapi, PAS tetap mengenang jasa dan tidak lupa terhadap mereka yang tidak berjasa kepada perjuangannya.

PAS dapat mengenali sahabat sejati sebenar yang sehidup dan semati. Bukannya sahabat yang mahu dirinya sahaja yang hidup, tetapi biarkan kawan di sebelahnya mati, demi talian hayatnya yang disambung, walaupun mengorbankan sahabatnya sendiri.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 12 Rabi’ul Akhir 1443 / 17 November 2021