Kecurian Kabel Terlalu Serius; Telekom Sediakan Hadiah RM1,000

2559

KUALA TERENGGANU – Kejadian kecurian dan kehilangan kabel yang terlalu serius memaksa Syarikat Telekom Malaysia (TM) negeri Terengganu, menawarkan hadiah sebanyak RM1,000 kepada mereka yang melaporkan kes-kes kecurian kabel di negeri ini.

Pengurus Besar TM Terengganu Hamidun Ismail berkata insentif itu akan diberikan kepada individu atau kumpulan yang berjaya menahan pelaku, yang kemudian akan didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah.

hamidun ismailBeliau berkata TM Terengganu juga memberi kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mengadakan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama masyarakat setempat, untuk membendung masalah ini.

“Kami mengakui kecurian kabel masih serius di negeri ini, jadi kami menawarkan ganjaran ini kepada orang-orang yang berjaya menggagalkan aktiviti ini dan menangkap pesalah.

“Selain itu, kami juga berharap orang ramai, termasuk JKKK dan SRS, akan menjadi mata dan telinga TM Terengganu berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Pengerusi TM, Datuk Seri Dr. Halim Shafei berkata pada tahun lalu, kecurian kabel telekomunikasi sangat serius mengakibatkan syarikat terbabit mencatatkan kerugian antara RM30 hingga RM50 juta setahun.

Manakala para pengguna, terutamanya pelanggan internet juga menanggung kerugian kerana apabila talian terputus mereka tidak dapat menggunakan khidmat malayarinya, walaupun mereka tetap akan membayar bil yang teah ditetapkan setiap bulan.