MARANG – Program sambutan Aidilfitri “Ameerah Raya” yang diadakan pada Khamis, 23 Julai di Dewan Tok Guru, Rusila telah melakar suatu kenangan dan sejarah yang tersendiri. Dengan tema “Hari Raya”, pelbagai lapisan masyarakat yang hadir, samada tua dan muda. Muslimin dan muslimat yang hadir kelihatan begitu teruja dengan program santai ini.


Menurut Pengarah program Ameerah Raya ketika ditemui, Cik Nadwa Insyirah Hussain, kerjasama yang diberikan pelbagai pihak begitu baik.
“Ameerah Raya bertujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama kita muslimin dan muslimat muda khususnya. Alhamdulillah, ramai pengunjung yang datang terdiri dari kalangan orang-orang muda. Moga ianya menjadi pembakar semangat kita semua untuk meneruskan perjuangan dan istiqomah hingga kemenangan,” ujar Nadwa.
Program itu juga mendapat sokongan daripada pimpinan PAS dan muslimat. Antara pimpinan yang hadir memeriahkan program tersebut adalah daripada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), YB PAS, Dewan Ulamak Pas Negeri Terengganu (DUPNT), Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), PAS Kawasan Marang dan NGO GANTI.


Bagi meraikan kanak-kanak pula, duit raya turut diberikan oleh Ameerah. Keterujaan mereka bertambah kerana aiskrim turut disediakan, khusus untuk para pengunjung.
” Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bonda kami DMPNT yang tidak putus-putus menyokong kami. Tidak dilupakan juga kepada saf Jawatankuasa negeri dan Ameerah kawasan-kawasan yang menjayakan majlis ini. Kalian memang awesome.” ujar Nadwa lagi.
Akhir sekali beliau mendoakan agar moga segala gerak kerja penat lelah yang telah dicurahkan demi mendaulatkan Islam ini mendapat nilaian di sisi Allah SWT.





























