Kebanjiran pelajar warga Afrika; PAS bimbang jenayah meningkat

916

KUALA TERENGGANU – PAS merasa bimbang dengan ‘kebanjiran’ pelajar warga Afrika yang mutakhir ini mengundang pelbagai masalah termasuk membabitkan siri-siri jenayah yang berlaku di kalangan para pelajar dan belia di negara ini.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik berkata mutakhir ini terlalu banyak kes yang membabitkan para pelajar daripada negara-negara Afrika, terutamanya  di sekitar Lembah Klang. 

“Walau pun banyak operasi telah dilakukan tetapi jumlah kes yang disiarkan tidak pernah berkurangan malahan makin meningkat. 

“Iaitu, sebanyak 89 warga Afrika termasuk lima wanita ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan penglibatan dalam sindiket penipuan Antarabangsa,” ujarnya melalui satu kenyataan akhbar kepada Harakah, hari ini.

Beliau menggesa, kerajaan mengkaji punca dan sebab-sebab berlaku peningkatan jenayah tersebut dan meniliti apakah faktor-faktor kelemahan yang ada sehingga kes jenayah di kalangan pelajar terbabit meningkat.

Malah, katanya syarat-syarat kemasukan pelajar terbabit ke Pusat-pusat Pengajian Tinggi di negara ini wajar diperhalusi dengan baik oleh pihak berkuasa.

“Perkara paling utama ialah mengenai syarat-syarat penerimaan untuk kemasukan ke Pusat-pusat Pengajian Tinggi dan kesan daripada tindakan undang-undang yang telah diambil oleh pihak kerajaan,” ujarnya.  

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut bimbang mengenai keselamatan pelajar dan belia di negara ini dengan masalah akhlak.

Katanya, kadar kelahiran anak luar nikah (haram) yang sangat tinggi di samping pengambilan arak dan dadah secara berleluasa.

Menurutnya, keadaan tersebut menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan pihak berkuasa menangani isu jenayah di negara ini.

“Kita (PAS) berharap dasar pengambilan pelajar bukan sahaja untuk kepentingan ekonomi daripada Industri Pendidikan tetapi  mestilah lebih besar daripada itu.

“Tamadun yang boleh dibina oleh Institusi Pendidikan dan rakyat di negara ini menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang berkebajikan dan sejahtera. 

“Kita (PAS) juga berharap industri pendidikan di negara ini dapat melahirkan  graduan-graduan yang menyokong pembangunan insan dan tamadun manusia  yang adil di dunia ini,” jelasnya.