Kebajikan Sebagai Medium Dakwah Dan Ukhuwwah

1326

Oleh : NHA

MARANG – Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (LKK DMPNT) sentiasa peka dengan amanah yang dipikul dan diterjemahkan melalui gerakerja kebajikan yang giat dijalankan sepanjang masa.

IMG-20150820-WA0097Terkini, LKK meneruskan aktiviti mereka dengan melakukan ziarah beberapa keluarga yang ditimpa musibah di kawasan Dungun dan Kemaman pada Rabu, 19 Ogos lepas.

Lima keluarga kesemuanya yang diziarahi iaitu 4 daripadanya mangsa bot karam dan sebuah keluarga ditimpa kebakaran. Menurut ketuanya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, ziarah tersebut penting sebagai peniup semangat selain mendekati mereka sebagai mad’u.

“Sebagai wakil muslimat negeri dan kawasan, malah sebagai saudara Islam, ini merupakan tanggungjawab kami untuk menziarahi mereka yang ditimpa musibah. Kita amat bersimpati dengan dugaan yang menimpa mereka,” ujar beliau.

Ziarah kebajikan tersebut turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) DMPNT iaitu Puan Serena Lim Abdullah dan Puan Khairiah Mokti. Turut bersama adalah AJK KHAIRUNNISA iaitu Puan Zahiah Abd Rahman yang juga isteri ADUN Chukai serta Puan Rugayah Mahmud iaitu isteri kepada Adun Rantau Abang.

IMG-20150820-WA0096Sumbangan juga turut diberikan kepada kesemua keluarga terbabit yang mewakili DMPNT, LKK DMPNT dan KHAIRUNNISA.

“Kita yakin, setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Moga Ahli keluarga mangsa sentiasa tabah, sabar dan redha dengan ketentuan Ilahi”

“Segala ketentuan Allah ada hikmahnya dan itu adalah yang terbaik buat diri kita. Sentiasa banyakkan munajat kepada Allah dan doa untuk mereka yang telah pergi dan belum dijumpai,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Tuan Roslina juga memaklumkan LKK DMPNT akan meneruskan ziarah kebajikan ini sepanjang masa. Selain itu, dalam masa terdekat, akan diadakan juga Bengkel Pemerkasaan Pengurusan Jenazah bagi melahirkan pengurus jenazah muslimat, agar dapat memberi khidmat yang lebih efektif kepada masyarakat ke arah memasyarakatkan PAS.