Keadilan’ Untuk Mohd Safwan Nordin!

998

Dewan Pemuda PAS Marang menzahirkan rasa simpati dan kesal dengan hukuman berat setahun penjara yang dijatuhkan ke atas Sdr. Mohd Safuan Nordin kerana penyertaan beliau di dalam Himpunan Bersih 3.0. Beliau disabitkan dengan kesalahan menyebabkan kerosakan harta awam di dalam insiden yang menyaksikan sebuah kereta Waja milik PDRM dirosakkan.

[Gambar – Safwan berbaju biru muda, disebelahnya adalah Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi]

Pemuda PAS menjiwai aspirasi rakyat yang mendambakan keadilan dan kerukunan. Oleh itu, kita menuntut satu ketetapan jelas apa yang telah mencetuskan kekecohan sewaktu Himpunan Bersih 3.0 itu yang bermula penuh disiplin dan aman.

Mandat polis adalah untuk melindungi rakyat. Tetapi pada hari himpunan tersebut, pihak polis menggembeling segala kekuatan untuk berkonfrontasi dengan rakyat yang sepatutnya mereka lindungi. Media alternatif merakamkan kekasaran melampau mereka ke atas peserta himpunan dan wartawan.

Kerajaan berdolak dalik untuk membentangkan laporan panel bebas yang telah dijanjikan oleh Menteri Dalam Negeri. PDRM pula enggan memberi kerjasama terhadap tribunal awam Suhakam. Maka apa yang ingin disembunyikan pemerintah sebenarnya?

Melalui hukuman ini, Sdr. Safwan telah dijadikan contoh kerana mencabar kuasa pemerintah. Dalam apa jua keadaannya, rakyatlah yang harus menanggung beban tanggungjawab dan kesalahan manakala pemerintah kekal maksum dalam segala tindakan mereka. Ironisnya, inilah contoh sikap terbaik kerajaan yang suka mendahulukan rakyat.

Safwan bukanlah seorang penjenayah tegar. Paling munasabah, beliau adalah mangsa keadaan oleh itu kita mendoakan agar beliau berjaya di dalam proses rayuan kelak. InsyaAllah, DPPKM dengan kerjasama DPNT dan DPPM akan terus membantu untuk meringankan bebanan ke atas beliau dan keluarga sepanjang tempoh waktu yang mencabar ini.

Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Marang
Sabtu 14 September 2013