DUNGUN – Institut pendidikan agama tersohor di sini, Darul Bayan akan mengadakan Karnival Sambutan Sempena 25 Tahun Penubuhannya, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 4 Mei depan.
Pengarah Karnival Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Darul Bayan merangkap Pengetua Sekolah Menengah Islam Darul Bayan, Ustaz Jamaluddin Jusoh berkata Sambutan bertemakan ‘Menongkah Zaman, Meraih Kecemerlangan’.
Katanya, Karnival itu akan diadakan di Markas Tarbiyah Islamiyah Darul Bayan, Kampung Pinang Merah, Paka, dijangka mendapat sambutan meriah masyarakat sekitar terutamanya daripada guru dan para pelajar serta alumni.


“Dua tokoh akan turut berceramah pada malam pembukaan tersebut iaitu bekas Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Guru Haji Mohd Baki Othman dan Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Urusan Ulama PAS Melaka,” ujarnya.
Ustaz Jamaluddin (gambar bawah) berkata demikian ketika ditemui di sini semalam, Ahad 24 April.


“Datuk Dr. Muhammad Zawawi Salleh, Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat pula akan berkhutbah Jumaat di Masjid Kampung Pinang Merah,
“dan pada sebelah petang program chit-chat bersama dua personaliti terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi pula diadakan,


Sementara itu, katanya, program penutup sambutan jubli perak ini pula akan diadakan pada hari sabtu malam dengan pengisian ceramah oleh YB Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS dan YB Ustaz Nik Abduh Nik Aziz, Ahli Parlimen Pasir Mas.
Beliau berharap dengan pelbagai acara menarik sepanjang tiga hari karnival akan berlangsung mampu menarik minat masyarakat untuk mengenali lebih dekat Darul Bayan.




























