Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2011 di Parlimen.
Menurutnya, beliau mengetahui perkara ini apabila beliau telah menyaksikannya sendiri ketika menyertai nelayan-nelayan tempatan di laut dalam sebelum ini.
“Tuan Yang Di-Pertua, saya baru pulang dari laut dalam bersama nelayan. Saya menyaksikan sendiri bagaimana kapal pukat tunda yang berkuasa tinggi membersihkan laut daripada batu karang tempat pembiakan ikan di samping membaham unjam-unjam, menarik ikan dan bubu nelayan kecil,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kumpulan `lanun’ yang bergerak bebas dan berlesen besar ini bukan sahaja menganggu nelayan kecil dan sederhana malahan kegitan mereka juga telah menyebabkan hasil hidupan laut semakin berkurangan sekaligus mengancam mata pencarian nelayan kecil dan sederhana.
Beliau berkata, kapal pukat tunda berkuasa tinggi ini memasarkan ikan-ikan besar ke luar negara dan pada masa yang sama hanya ikan-ikan kurang bermutu, kecil dan sederhana sahaja untuk pasaran tempatan atau dibuat baja.
Menurut beliau lagi, pemilik kapal yang menggaji pekerja negara asing ini turut menjalankan kegiatan menjual petrol subsidi.
“Saya dimaklumkan juga bahawa tuan punya di darat, pekerjanya daripada negara asing. Di antara kegiatannya juga adalah mengisi minyak subsidi dengan banyak untuk dijual di laut.
“Ada kalangan penguatkuasa memaklumkan kepada saya, mereka ini tidak boleh diambil tindakan kerana jerung di darat terlalu besar, menganga mulut untuk menelan kami,” sambung beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta Malaysia mencontohi negara luar dan negara maju yang kebanyakkannya mengharamkan sebarang kegiatan yang mengancam hidupan lautan.
Ekoran kegiatan ini menurutnya, lebih 50 peratus nelayan kecil dan sederhana terpaksa menjual bot dan peralatan nelayan mereka untuk mencari kerja lain yang juga belum pasti terjamin.
Bagi mengatasi masalah ini, beliau mendesak agar pihak berkuasa bertindak lebih berani dan telus bagi menyelamatkan keadaan.
Terdahulu dalam ucapan yang sama, beliau turut membidas tindakan terpilih penguatkuasa dalam kes-kes rasuah dalam negara ini.
“Bayangan rasuah belum hilang. Walaupun ada kedengaran tindakan yang diambil, tetapi secara terpilih.
“Saya yakin negara yang dihinggapi oleh politik wang di dalam pemilihan parti dan pilihan raya tidak mampu mengatasi penyakit rasuah. Jauh sekali untuk menghapuskannya,” kata beliau.-FMT