Menurut Skuad BO Besut Hafizi Mamat, air mula naik sejak petang semalam dan kini sudah memasuki beberapa buah rumah di Kampung Padang Bual.
“air mula naik petang semalam, jalan sudah tidak boleh dilalui kenderaan dan mula memasuki beberapa rumah, jalan belakang Kampung Padang Bual boleh disusuri hingga ke jambatan Jerubun sahaja,
“di sebelah bawah Kampung Alur Keladi sedang menunggu masa sahaja untuk dinaiki air,”ujarnya melalui sistem pesanan ringkas.


Katanya, banjir dibimbangi bertambah buruk petang ini kerana hujan masih turun di kawasan Hulu Besut.
Sementara itu laporan Bernama pada jam 2 petang mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Hulu Besut di sini ditutup hari ini berikutan kebanyakan murid dan gurunya tidak hadir ekoran beberapa jalan ke sekolah itu dinaiki air antara 0.6 meter hingga 1.3 meter.
Laluan terbabit ialah di KM27, Jalan Jerteh-Keruak dekat Sungai Patong dan di Km13 dekat Kampung Gertak Jerbun.
Pegawai Pelajaran Daerah Besut Ab Halim Hassan ketika dihubungi Bernama berkata sekolah itu diberikan kebenaran cuti berganti.
Katanya, beliau juga dimaklumkan ramai guru yang mengajar di Sekolah Menengah Bukit Payong, SK Tenang, SK Panchor dan SK Keruak di daerah itu juga tidak dapat pergi ke sekolah masing-masing dan terpaksa melapor diri di sekolah berdekatan yang tidak terjejas dengan banjir.
Ini berikutan jalan ke Hulu Besut dari Jerteh dinaiki air di beberapa tempat seperti di Kampung Gertak Jerbun, Pasir Akar dan Lepang Kejor di Darau, katanya.
“Sekiranya keadaan banjir didapati bertambah buruk, pihak sekolah perlu mengambil langkah segera bagi mengisytiharkan cuti bagi sekolah mereka,” katanya.
Sementara itu tinjauan Bernama ke beberapa lokasi di Kampung Pasir Akar mendapati paras air yang naik akibat limpahan Sungai Besut sejak petang semalam masih tidak berubah.
Penduduk dilihat memantau keadaan paras air sungai sebelum bertindak untuk berpindah di pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
Sebelum itu, tiga keluarga dari Kampung Chalok Barat di Setiu dipindahkan akibat banjir setelah hujan tanpa henti sejak awal pagi tadi.
Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata kesemua mangsa dipindah ke Balai Raya Sungai Lerek, setelah kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Mangsa yang terdiri daripada empat wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak itu dipindahkan 5 petang tadi, katanya.


























