JPKK Felda Tenang Sokong Tindakan Kerajaan Negeri Tuntut Tanah 15,000 Hektar

348

KUALA TERENGGANU – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Tenang menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha menuntut semula hak tanah seluas 15,000 hektar yang didakwa tidak pernah menjadi milik Felda.

Timbalan Pengerusinya, Shalahhudin Jaafar, berkata JPKK berdiri teguh bersama kerajaan negeri bagi memastikan tanah berkenaan diurus secara sah dan manfaatnya disalurkan kembali kepada rakyat.

“Diharap pihak Felda dapat menyelesaikan isu ini melalui rundingan serta bersetuju dengan mekanisme perkongsian keuntungan dengan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, sekiranya Felda terus berdegil dan enggan memberi kerjasama, kerajaan negeri wajar bertindak lebih tegas termasuk mengambil kembali tanah tersebut dan mengagihkannya kepada rakyat miskin yang lebih memerlukan.

“Ramai rakyat yang perlukan tanah. Ia tidak sepatutnya diberikan percuma kepada FGV yang mengaut keuntungan untuk pemegang saham semata-mata, sedangkan hak pemilik tanah ialah kerajaan negeri,” tegasnya.

Beliau menambah, tindakan memajak tanah tanpa peneroka kepada FGV sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia jelas menunjukkan berlaku ketidakadilan terhadap kerajaan negeri dan rakyat Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh 40 hari rundingan yang diberikan kerajaan negeri telah berakhir pada 29 November 2025, namun Felda masih gagal tampil untuk berbincang.

“Tanah seluas 15,000 hektar ini tidak pernah menjadi milik Felda. Ia hanya diberi kelulusan penggunaan dengan syarat tertentu termasuk pembayaran kepada kerajaan negeri. Malangnya, selama 40 tahun Felda tidak membuat sebarang bayaran,” katanya.

Justeru, beliau menyokong langkah kerajaan negeri mengembalikan hak rakyat melalui tuntutan pembayaran dan keuntungan yang sepatutnya diterima sejak sekian lama.

“Wajar dikeluarkan notis pencerobohan supaya Felda sedar bahawa tanah tersebut bukan milik mereka,” tambahnya.

Roslan Salimi,

Sementara itu, Pengerusi JPKK Felda Tenang, Roslan Salimi, turut menyokong tindakan kerajaan negeri kerana isu tersebut tidak melibatkan tanah peneroka.

“Ia membabitkan tanah yang pernah digadai FGV dahulu.

“Jika kerajaan memperoleh kembali hasil itu, manfaatnya boleh disalurkan kembali kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Pengerusi JPKK Felda Tenang Selatan, Ahmad Shukri, pula menjelaskan bahawa tanah peneroka tidak terjejas kerana telah diberikan geran hak milik.

“Tuntutan kerajaan ialah terhadap keuntungan yang diperoleh FGV selama 40 tahun tetapi tidak pernah disalurkan kepada rakyat, sebaliknya diagihkan kepada pemegang saham.

“Lebih membimbangkan apabila nilai saham FGV jatuh merudum daripada RM4.55 ketika mula disenaraikan kepada bawah RM2.00 ketika ini,” jelasnya.