Bagi menyambut Hari Merdeka pada 31 Ogos 2013, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan XPDC Dakwah yang akan diadakan di kesemua lokasi sambutan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri bersama DPP Kawasan-kawasan diamanahkan untuk menjayakan XPDC tahun ini.


Antara aktiviti utama yang akan diadakan pada malam tersebut adalah edaran risalah, bertemu dan beramah mesra dengan anak-anak muda selain memperkenalkan pemimpin Pemuda PAS. Program ini akan bermula pada jam 10.00 malam dengan taklimat dan amanat pimpinan selain pembahagian kumpulan. Setiap kumpulan pula akan dipecahkan bagi mencapai sasaran bertemu seramai mungkin golongan belia di lokasi tertentu.
Justeru, DPPM mengajak semua lapisan masyarakat termasuk parti-parti politik, NGO, badan dakwah, mahasiswa untuk bersama dalam XPDC Dakwah ini. Kesemua entiti yang akan bersama nanti digalakkan membawa kain sepanduk, bahan cetakan dan lain-lain sebagai bahan edaran kepada masyarakat untuk dikongsikan bersama peserta XPDC Dakwah tersebut.
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia




























