Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PAS dan UMNO banyak persamaan dari segi asas perjuangan sebagai meraih simpati dari rakyat khususnya pengundi Melayu di DUN Sungai Limau. Kenyataan beliau secara tidak langsung menunjukkan bahawa perjuangan PAS tetap digeruni oleh UMNO meskipun PAS tidak mempunyai kerajaan dan memerintah negara ini.
Ini kerana bagi PAS, perbezaan ketara antara PAS dan UMNO telah dilihat sejak awal ditubuhkan sehingga sekarang oleh rakyat dan bukan hanya ahli kedua-dua parti. Bagi yang celik politik serta tahu mengenai asas perjuangan kedua-dua parti, sudah dapat melihat perbezaan ketara antara kedua-dua parti tersebut. Dari segi dasar perjuangan, perlembagaan, kepemimpinan, cara berfikir, hala tuju, kaedah perjuangan dan lain-lain sudah jelas berbeza antara UMNO dengan PAS.
Dalam hal ini, DPPWP mengajak Tan Sri Muhyiddin agar berpijak di bumi nyata dan jangan berusaha kelirukan lagi fakta untuk mengabui mata rakyat. PAS tidak mempunyai masalah sekiranya UMNO meniru gaya kepimpinan dan dasar perjuangan PAS, kerana dasar PAS adalah Islam dan terbuka untuk semua menilainya. Namun untuk PAS meniru gaya dan dasar UMNO, ia ibarat jauh panggang dari api.
Sekiranya benar kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa UMNO dan PAS banyak persamaan, adalah lebih baik UMNO mengalah dengan memberikan peluang kepada PAS untuk memerintah negara.
Dalam konteks Kedah, secara khususnya di pilihanraya Kecil DUN Sungai Limau, jika PAS dan UMNO ada persamaan, mengapa pula UMNO-BN meletakkan calon di PRK Sungai Limau? Mengapa tidak beri sahaja ‘parti yang banyak persamaan’ dengan UMNO ini untuk menguasai DUN Sungai Limau atau paling baik membenarkan PAS menguasai Kedah? Mengapa pula PAS di Kedah ditumbangkan pada PRU ke 13 tempohari? Mengapa pula banyak kerusi Parlimen PAS di negara ini ditumbangkan oleh UMNO dalam PRU ke 13?
Kaedah kempen halus Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah dapat dihidu dan rakyat dapat membezakan antara kenyataan yang ikhlas mahupun retorik semata-mata. Bangun dan sedarlah Tan Sri Muhyiddin, kita buktikan persamaan atau perbezaan tersebut dalam PRK DUN Sungai Limau kali ini.
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan



























