Jenazah Mertua ADUN Jeneri Selamat Disemadikan

2049

Oleh : Khalid Abdullah

BESUT – Jenazah bapa mertua Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, ADUN Jeneri, Hj Muhammad Sanusi Md Nor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Raja, Besut pukul 3.00 petang semalam.

Allahyarham Haji Jusoh bin Hassan, 78, telah kembali menemui pencipta-Nya pada jam 9.18 malam, Isnin semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Allahyarham semasa hayatnya terkenal sebagai seorang kontraktor yang cukup berjaya sekitar tahun 80-an di daerah ini dan sikap pemurah beliau menyebabkan cukup disenangi oleh masyarakat.

“Sepanjang mengenali arwah, beliau tidak pernah bercakap buruk kepada sesiapa, pernah beberap kali dianugerahkan Tokoh Mithali Peringkat Daerah Besut atas kejayaan arwah mendidik anak-anaknya.

“Allahyarham meninggalkan 11 orang anak dan seorang balu, Hajah Zaharah @ Maimum binti Yaakub, juga berusia 78 tahun.

“Hampir 11 hari di rawat di CCU (coronary care unit) Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat masalah lemah jantung, darah tinggi dan akhirnya melarat ke masalah kegagalan buah pinggang yang dikenal pasti oleh pihak hospital sebagai penyebab kematian,” ujar Hj Muhammad Sanusi.

Sementara itu, antara kenamaan yang turut hadir semasa majlis pengkebumian adalah Senator Dewan Negara, Datuk Haji Husain Awang dan wakil ADUN Kota Putera dan Kemasik.