Jelaskan Motif Pemecatan Qatrun Nada!

850
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita9/jawi%20pecat.jpg

Dakwaan guru tersebut yang bernama Qatrun Nada Mohd Latfi bahawa beliau menerima notis pemecatan selepas mendapat panggilan daripada seorang pemimpin Umno tempatan menimbulkan seribu persoalan.

PAS WP mendesak penjelasan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung pemecatan tersebut. Apakah benar motif pemecatan tersebut hanya kerana beliau hadir mendengar ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa atau ada sebab-sebab yang lain. Jika JAWI merasakan mereka berhak menamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa tanpa sebab, mereka mesti mempunyai suatu alasan yang kukuh untuk dijadikan asas dalam menamatkan perkhidmatan guru tersebut. Jika tidak, ia adalah suatu tindakan yang zalim kerana JAWI menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk memberhentikan kakitangan di bawahnya tanpa apa-apa sebab yang kukuh.

PAS WP mengingatkan JAWI agar menjaga profesionalisme sebagai agensi kerajaan. Rakyat mempunyai hak menyatakan sokongan kepada mana-mana parti yang mereka suka, menjadi ahli pada mana-mana parti serta mengundi sesiapa sahaja dalam pilihan raya umum ke 13. Sebagai sebuah negara demokrasi, JAWI tidak berhak menyekat kebebasan berpolitik yang dimiliki oleh warga Malaysia. 

PAS WP melihat apa yang berlaku ke atas guru tersebut menandakan tahap kebimbangan tertinggi UMNO-BN dalam mendepani arus kebangkitan rakyat. Rakyat akan ditekan, diugut dan diberi amaran jika rakyat dilihat bersimpati atau menyokong Pakatan Rakyat. Lebih membimbangkan lagi apabila penyertaan beramai-ramai golongan profesional dan bekas kakitangan kerajaan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat. Trend ini terus menular kepada penjawat awam yang kini rata-ratanya menyatakan sokongan terbuka kepada PR.

Meskipun ditekan dan dikongkong, PAS WP yakin rakyat mempunyai kematangan dan kecerdikan akal untuk memilih pemimpin mereka dalam PRU ke 13. Segala tekanan yang dihadapi pasti akan lebih menyedarkan rakyat, bahawa perubahan perlu dilakukan bagi selamatkan Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih demokratik.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan