JELAS Zon Timur Satukan Fikrah, Perkukuh Gerak Kerja Muslimat

77

Oleh : RR

TEMERLOH — Program Jelajah Munaqasyah Ucaputama Ketua Muslimat Pusat (JELAS) Zon Timur menghimpunkan kepimpinan Dewan Muslimat PAS dari tiga negeri bagi menyelaraskan fikrah serta memastikan gerak kerja dapat dilaksanakan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, YB Salamiah Mohd Nor berkata, program tersebut bertujuan memperkukuh kesatuan kepimpinan dan memastikan fokus perancangan dibuat, selari dengan strategi, visi dan misi Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dari peringkat pusat hingga ke bawah.

“Kepimpinan tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu menggerakkan keseluruhan jentera organisasi dan melibatkan komuniti secara inklusif dan tidak terhad dalam kalangan ahli sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program JELAS Zon Pantai Timur, di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh, Pahang, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Tenerloh itu menegaskan bahawa Islam meletakkan wanita pada martabat yang bermakna dan sesuai, sekali gus menjamin kesejahteraan dan keselamatan wanita secara menyeluruh.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan teknologi sebagai medium utama menyampaikan dan menerima maklumat berasaskan fakta yang benar, khususnya dalam menghadapi serangan fitnah serta sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, peranan mujahidah siber amat penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat, menangkis fitnah dan mengelakkan perbalahan berpanjangan di media sosial.

“Gerak kerja Muslimat amat penting dalam mempertahankan kemenangan dan menguasai sokongan masyarakat setempat. Peranan Muslimat perlu digerakkan secara tersusun dan berstrategi,

“khususnya di kawasan yang mempunyai wakil rakyat dalam kalangan Muslimat, di mana sokongan padu daripada jentera Muslimat menjadi keutamaan kerana merekalah benteng utama mempertahankan kemenangan.

“Di kawasan yang menampilkan calon Muslimat, usaha promosi perlu diperkasakan agar calon tersebut dikenali dan diyakini, sekali gus mampu memainkan peranan berkesan, terutamanya melalui perkhidmatan bersama masyarakat setempat.

“Fokus utama gerak kerja hendaklah menjurus kepada penguasaan isu-isu semasa, disertai keberanian menyuarakan kebenaran serta membina sikap tegas bahawa perkara yang benar mesti dipertahankan tanpa rasa gentar,” ujar beliau.

Menurutnya, keperluan dan kecenderungan pengundi muda berbeza dengan generasi terdahulu, justeru organisasi perlu memanfaatkan kemahiran, kebolehan dan kepakaran golongan muda bagi menggerakkan jentera mereka sendiri kerana anak muda lebih berkesan mendekati kelompok sebaya.

Katanya lagi, golongan muda yang mempunyai kesedaran, maklumat dan keupayaan perlu diberi sokongan dan motivasi oleh organisasi agar peranan mereka dapat dimaksimumkan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Muslimat yang diberikan kepercayaan dan keyakinan perlu melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, tidak menarik diri atau merasa rendah diri, sebaliknya terus memperkasakan diri khususnya dari sudut ilmu dan pengetahuan.

“Tiada siapa boleh memperkasakan diri seseorang melainkan dirinya sendiri. Penglibatan aktif dalam organisasi dan masyarakat amat penting, dan apabila dipilih, yakinlah jemaah memberi kepercayaan serta keyakinan penuh,” katanya.

Salamiah turut menegaskan keperluan sokongan menyeluruh daripada seluruh jentera parti tanpa mengira sayap, termasuk Pemuda dan Muslimat, agar gerak kerja dapat berjalan seiring dan mencerminkan imej parti yang kuat.

Tambah beliau, gerak kerja calon Muslimat tidak seharusnya digalas oleh Muslimat semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan bersama oleh keseluruhan jentera samada lelaki atau perempuan bagi memastikan kekuatan dan keberkesanan perjuangan parti.