Jangan Perjudi Masa Depan Pelajar

5090

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyarankan Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa mengutamakan kepentingan pendidikan rakyat dan konsisten dalam pelaksanaan sesuatu dasar atau struktur bagi memastikan ia diberi keutamaan serta prestasi yang terbaik. DPPM ingin tegaskan supaya pertukaran menteri tidak boleh menjejaskan pelan pendidikan yang telah dilancarkan sebelum ini.

Pasca penstrukturan kabinet terbaru Perdana Menteri, sekali lagi sektor pendidikan di Malaysia dipisahkan kepada dua kementerian setelah ia disatukan di bawah satu bumbung sebelum ini pada tahun 2013 atas nama Kementerian Pelajaran. Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi (2004) dua buah kementerian ini pernah disatukan dengan nama Kementerian Pelajaran. Kemudian, istilah ‘Pelajaran’ telah ditukar kepada ‘Pendidikan’ kerana berpendapat ia lebih tepat.

DPPM bimbang perkara ini turut akan menjejaskan intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang telah digazetkan beberapa bulan lalu. DPPM menggesa pihak Kementerian Pendidikan mengkaji pelbagai aspek secara matang sebelum sesuatu polisi dikuatkuasakan tanpa memperjudikan nasib para pelajar dan menyulitkan tugasan para guru di negara ini.

PPPM_NEWBeberapa hari lalu, Lembaga Peperiksaan telah menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016. Surat pekeliling mengenai polisi ini telah dikeluarkan sejak bulan Disember 2014, namun ia secara tiba-tiba ditangguhkan menjelang 3 bulan daripada tahun pelaksanaannya tanpa sebab yang diperincikan.

Perkara yang sama juga telah berlaku sebelum ini dalam melaksanakan polisi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Polisi tersebut akhirnya telah dimansuhkan pada tahun 2009/2012. Tidak mustahil ia akan dilaksanakan semula setelah banyak pihak yang dilihat melobi untuk meneruskan kembali polisi tersebut sejak tahun lepas. Kemudian, wujud pula dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 2011.

Isu yang sama turut berlaku dalam pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mula diperkenalkan kepada pelajar tahun 1 tahun 2011. Pada tahun hadapan, kita akan menyaksikan pula perubahan sistem dalam peperiksaan UPSR setelah kita melihat pelbagai kontroversi yang timbul akibat daripada pelaksanaan yang terburu-buru dalam sistem Peperiksaan Tingkatan Tiga (PT3).

DPPM berpendapat kesan negatif terhadap pelaksanaan polisi-polisi baru pendidikan wajar diminimakan supaya para pelajar tidak terkeliru dan dijadikan bahan eksperimen pihak-pihak tertentu. Banyak isu utama pendidikan perlu diberikan perhatian yang serius dan menuntut solusi yang efektif serta efisyen. Elakkan flip flop policy dan utamakan hasilan yang lebih cemerlang.

Sekian, terima kasih.

***KENYATAAN MEDIA USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI TIMBALAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA PADA 11 Zulkaedah 1436 | 25 Ogos 2015