Jangan Abaikan JPJ Terengganu

2422

Rabu lepas saya ke JPJ Terengganu bagi menyelesaikan sedikit urusan kenderaan. Suasana di dalam JPJ agak ramai, menunjukkan betapa JPJ adalah salah satu jabatan kerajaan pusat yang penting kepada rakyat. Maka rakyat adalah pelanggan dan JPJ mencapai keuntungan mereka melalui perniagaan dan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Sudah agak lama menunggu, terasa pula saya keadaan di dalam bangunan JPJ itu agak merimaskan saya. Rupanya bukan saya seorang yang terasa agak kepanasan tetapi juga hampir kesemua pelanggan JPJ turut sama merasakannya. Ianya kemudian disahkan oleh orang JPJ sendiri bahawa memang mereka mengalami masalah penghawa dingin yang tidak berfungsi. Tambahnya yang menambahkan lagi kerutan dahi saya ialah masalah ini sudah hampir dua tahun…..dua tahun tanpa apa-apa tindakan? Saya rasa ini amat tidak adil kepada rakyat dan juga pegawai JPJ sendiri yang terpaksa duduk didalam keadaan yang tidak selesa.

Saya dimaklumkan lagi bahawa pihak kerajaan negeri telah mendapat maklumat yang jelas tentang kerosakan ini tapi tindakan masih belum dibuat, walaupun ini adalah premis kerajaan pusat tapi demi kemanusiaan, apalah salahnya bantu. Sedangkan LPT2 juga kerajaan negeri tanggung hampir 2 billion, apalah sangat dengan penghawa dingin yang mungkin dalam puluhan ribu sahaja. Terengganukan negeri kaya dan mementingkan hal rakyat? Bukankah kecil bagi kerajaan tapi besar bagi rakyat? Namun harapan tinggal harapan, tiada tindakan positif diambil kerajaan.

Oleh kerana kejadian ini berlaku di hadapan saya dan saya turut merasainya, maka sayugialah diingatkan kepada orang kuat kerajaan itu supaya tunaikan janji anda. Paling tidakpun berlaku adillah kepada rakyat yang sangat banyak menyumbang kepada pendapatan negara melalui JPJ ini, untuk dibuat laporan dan tindakan segera demi kebaikan rakyat. Desaklah kerajaan pusat. Keadaan seperti ini boleh mendatangkan cetusan sepertinya kerajaan pusat atau negeri tidak memperdulikan rakyat. Hanya tahu kutip duit sahaja.

Saya memohon kepada kerajaan agar menyahut rayuan saya ini atas nama rakyat untuk memperbaiki kemudahan di JPJ Terengganu

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
10 Jamadilakhir 1437 bersamaan 19 Mac 2016