Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

JAKIM Perlu Cermat Mengeluarkan Logo Halal

logo halal jakim

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) secara tiba-tiba membuat pusingan U dengan mendakwa coklat Cadbury yang asalnya diwartakan mengandungi porcine DNA babi) namun semalam menafikannya pula. Secara bersungguh Jakim tampil menjelaskan halalnya Cadbury sambil berkempen supaya makan coklat tersebut tanpa ragu dan was-was.

Ia sama sekali bercanggah dengan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini yang membuat kajian makmal dan mendapati ada kandungan DNA babi di dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk. Jakim pula mendakwa kajian dari sampel kandungan yang sama dibuat namun tiada DNA babi yang terdapat di dalamnya.

Masyarakat sudah mula merasa curiga dan musykil dengan kenyataan ini. Kajian mana yang tepat dan maklumat mana yang menyeleweng? Apakah KKM tidak memberikan maklumat yang benar dan berniat jahat sehingga mahu menjatuhkan reputasi Cadbury di pasaran? Jika begitu, Cadbury wajar mengambil tindakan mahkamah bagi membersihkan namanya. Bagaimana pula dengan penemuan Jakim? Apakah Jakim yang benar KKM yang salah atau sebaliknya?

Umum mengetahui Jakim adalah pengeluar utama logo halal. Kerana logo halal itulah syarikat mendapat keuntungan berjuta ringgit hasil jualannya yang dimakan atau digunakan oleh ramai orang, sama ada muslim atau tidak. Kerana logo halal jugalah umat Islam tidak berfikir panjang dan tanpa was-was menikmati makanan yang dibeli.

Dalam hal ini, Jakim sepatutnya bertindak lebih berhati-hati. Kajian demi kajian di samping siasatan dan pemantauan mesti dibuat terhadap semua produk. Jika ada unsur keraguan, dengan aduan dan pendedahan dilakukan, Jakim perlu bertindak pantas dengan menyiasatnya secara menyeluruh. Jika benar coklat Cadbury terbukti halal melalui kajian maka mereka berhak membuat ketetapan dan penafian. Sebaliknya jika sememangnya ada DNA babi didalamnya, maka Jakim juga perlu bersikap jujur dan berkata benar sekalipun pahit.

Bersikap tegas dan warak adalah ciri mukmin sejati. Bahkan ia adalah jihad dalam menyelamatkan akidah, syariat dan akhlak umat Islam. Memakan makanan haram serta syubhat akan merosakkan umat Islam kerana di dalam tubuhnya, darah dan dagingnya penuh dengan perkara yang haram. Penentu soal halal dan haram pada makanan dan peralatan terletak pada Jakim dan mereka perlu bertanggungjawab logo halal yang diluluskan benar-benar menepati syariat Islam, tidak merosakkan umat Islam.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan