Oleh KAM
KUALA NERUS – Ahli dan pendukung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mesti menjaga nama baik parti ini kerana PAS bukan menjadi hak milik mana-mana pimpinan tetapi milik bersama ahlinya.
Sebab itu, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan dana kebajikan yang dikumpul dari ahlinya sangat penting bagi menggerakkan aktiviti parti.


“Dana kebajikan ini sangat penting untuk mempastikan jamaah (PAS) yang kita dukung ini dilihat berkeupayaan dan layak untuk menjadi kerajaan atau ‘kerajaan dalam bayangan’.
“Dalam keadaan kita (PAS) tidak jadi kerajaan pun boleh beri bantuan, bayangkan jika kita jadi kerajaan.
“Ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memberi sokongan kepada kita (PAS). Bukan saja-saja kita kutip dan kumpul dana melainkan mempunyai tujuan yang sangat besar.
“Semoga jamaah yang kita perjuangkan ini dekat dihati masyarakat,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea dan Dialog Bersama Ketua Penerangan PAS Pusat di Dewan Terbuka Pusat Khidmat Dun Teluk Pasu, di sini, pada Isnin 14 Disember.


Ustaz Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menjelaskan bahawa jamaah Islam PAS merupakan sebuah parti besar yang berwibawa.
Oleh itu, katanya setiap ahli dan pendukung parti perlu menjadi nama baik PAS yang menjadi milik bersama ini.




























