Isu Tanah Felda/ FGV; Kenapa UMNO Rasa Tersakiti?

211

KUALA TERENGGANU – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Azman Ibrahim mempersoalkan reaksi Umno yang dilihat “tersakiti” dalam isu FELDA, sedangkan Kerajaan Negeri sejak awal tidak pernah menjadikan Umno sebagai sasaran, sebaliknya hanya fokus menyelesaikan masalah yang berlarutan puluhan tahun.

“Dalam hidup ini, kalau tak mampu jadi garam maka jangan jadi langau,” sindir beliau ketika mengulas tindakan UMNO yang didakwanya cuba mencetus polemik walaupun tidak terlibat dalam rundingan antara Kerajaan Negeri dan FELDA.

Menurut Exco Kerajaan Terengganu itu, kenyataan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri sudah cukup jelas apabila mengakui bahawa tanah seluas kira-kira 15,000 hektar yang diberikan kepada FELDA dahulu tidak mempunyai geran hak milik kerana FELDA gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Mantan MB sendiri menggunakan istilah FELDA membangunkan tanah secara haram. Lebih keras daripada istilah saya yang menyatakan FELDA menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa peraturan tanah tidak berubah mengikut kerajaan mana yang memerintah.

“Kalau dulu FELDA tak ada geran hak milik dan ia masih berstatus tanah kerajaan, apakah sekarang sudah jadi tanah FELDA? Jawabnya, tidak. Syarat dulu tak dipatuhi, sekarang pun masih tak dipatuhi,” katanya.

ADUNn Jabi itu berkata, tindakan tegas Kerajaan Negeri mengeluarkan Notis 425 KTN membuka jalan kepada rundingan baharu yang lebih konstruktif.

“Alhamdulillah, pengurusan tertinggi FELDA mengajak kerajaan kembali ke meja rundingan. Banyak persetujuan awal telah dicapai secara dasar, dan FELDA menunjukkan keseriusan untuk menyelesaikan isu lapuk ini,” jelasnya.

Menurut beliau, apabila wujud ruang perdamaian dan kemajuan rundingan, bukanlah satu keadilan untuk Kerajaan Negeri terus kekal berkeras tanpa memberi ruang kepada FELDA memperbetulkan keadaan.

“Dalam berunding, kita perlu ada sikap memberi dan menerima. Kita menimbang permohonan Felda untuk menyambung tempoh remedi dan memberi keizinan kepada FGV mengoperasikan semula ladang walaupun Notis 425 masih berkuatkuasa,” ujarnya.