KUALA TERENGGANU – Isu melibatkan status tanah dan kelulusan pembinaan rumah ibadat perlu difahami dalam kerangka undang-undang, bukan dilihat sebagai penilaian terhadap mana-mana agama.
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan menjelaskan bahawa istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa lazimnya merujuk kepada kedudukan undang-undang tanah serta pematuhan kepada peraturan perancangan, dan bukannya menyentuh aspek kepercayaan.
Menurutnya, penjelasan rasmi yang dibuat secara konsisten amat penting bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan antara kaum.
“Komunikasi yang jelas membantu masyarakat memahami bahawa isu sebenar adalah berkaitan pematuhan peraturan, bukan agama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa adalah kurang adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada generasi hari ini terhadap masalah yang berpunca daripada sejarah pemilikan tanah dan kelemahan pentadbiran lampau.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan penyelesaian bersama seperti pemutihan, penempatan semula atau pengiktirafan bersyarat, bergantung kepada keadaan setiap kes.
Dalam masa sama, beliau menyatakan bahawa kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus dan konsisten melibatkan semua rumah ibadat, tanpa mengira agama, bagi mengurangkan persepsi pilih kasih.
“Undang-undang mesti ditegakkan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kesan sosial dan keharmonian masyarakat,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa pengiktirafan terhadap faktor sejarah penting supaya penyelesaian yang diambil bersifat pragmatik dan rekonsiliasi, sekali gus mengelakkan ketegangan kaum serta memelihara keharmonian jangka panjang.





























