29 Kelurga Siam, Cina Terima Kunjungan Tahun Baharu

262

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 29 keluarga kaum Siam dan Cina di Kampung Batu Balai dan Renek, Jabi menerima kunjungan mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Yang Dipertua PAS kawasan Setiu, YB Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, kepelbagaian kaum yang wujud di daerah itu merupakan kekuatan utama dalam membina masyarakat yang harmoni dan saling menghormati.

Menurutnya, kunjungan dari rumah ke rumah itu bukan sekadar menyampaikan buah tangan berupa limau mandarin, malah menjadi ruang untuk bertanya khabar serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum.

“Inilah kepelbagaian yang menjadi kekuatan kita selama ini. Walaupun berbeza latar belakang, kita tetap hidup dalam suasana saling menghormati dan meraikan antara satu sama lain,” katanya dalam laman sosialnya, semalam.

Tambah beliau, suasana kunjungan tersebut cukup bermakna apabila ada tuan rumah yang turut mempelawa beliau dan rombongan untuk duduk minum bersama, sekali gus menambahkan kemesraan yang terjalin.

Beliau turut mengharapka agar sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membawa kebahagiaan, kesihatan dan rezeki yang melimpah kepada semua yang meraikannya.

Di samping itu, beliau menyeru agar keharmonian yang telah lama terbina terus dipelihara demi kesejahteraan bersama.

“Walaupun masyarakat Cina dan Siam di Setiu tidaklah ramai, mereka tetap sebahagian daripada keluarga besar kita. Perayaan mereka adalah kegembiraan kita bersama,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa program ziarah seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan memastikan setiap komuniti sentiasa diberi perhatian tanpa mengira latar belakang.