PAS Tidak Kompromi Dalam Prinsip Walaupun Berisiko Hilang Kerusi

323

KUALA TERENGGANU – Pendekatan politik PAS jelas tidak berkompromi dalam soal prinsip, walaupun ketegasan itu membawa risiko kehilangan kerusi atau kuasa.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan PAS mempunyai dasar perjuangan dan akar umbi yang kukuh, yang tidak mudah runtuh walaupun ditekan.

“Sejarah PAS membuktikan pendekatan ini apabila pernah bertahaluf dengan Perikatan pasca 13 Mei 1969, bersama Semangat 46, Pakatan Rakyat, serta berta‘āwun dengan UMNO dalam isu RUU 355, semua ini dilakukan atas dasar maslahat dan prinsip, bukan kepentingan sempit.” tegasnya.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu itu, berkata demikian ketika membentangkan kertaskerja di Liqa’ Fikri PAS Kawasan Dungun di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini pada Sabtu, 7 Februari.

Namun, katanya parti Islam itu tidak boleh naif, realitinya, masih ramai yang belum mahu menerima penyelesaian Islam.

“Mereka masih tegar memegang sistem yang telah berkali-kali gagal, malah, ada pihak yang sanggup melakukan pelbagai sekatan yang mencabuli konsep demokrasi dan perlembagaan semata-mata untuk menyekat kemaraan PAS,” jelasnya.

Katanya, kita melihat bagaimana berlakunya salah laku dan kezaliman demi memastikan PAS tidak diberi ruang.

“Namun, ingatlah pesan pimpinan: PAS ibarat pohon yang subur, jika dahannya dipotong, ia akan menumbuhkan tunas yang lebih banyak.

Sekatan inilah yang akan mematangkan kita, dan kezaliman pihak lawanlah yang akan menjadi saksi kegagalan mereka di mata rakyat pada PRU-16 nanti,” tegasnya.