KUALA TERENGGANU – Seramai 150 penerima dari Unit Daerah Mengundi (UDM) Bukit Kuang menerima sumbangan kit Ramadan membantu meringankan beban persediaan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba.
Ketua Ameerah DUN Kijal, Nurul Hidayat Ibrahim berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat bekalan barangan asas dapur lebih awal, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan menjelang bulan penuh keberkatan itu.
Katanya, kit yang diagihkan merangkumi keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung serta barangan keperluan harian lain bagi kegunaan sepanjang Ramadan.
“Usaha ini adalah tanda keprihatinan kami terhadap masyarakat setempat, khususnya keluarga yang memerlukan bantuan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Diharapkan sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada para penerima,” katanya dalam laman sosial, semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah memberikan sokongan sama ada dalam bentuk kewangan, barangan mahupun tenaga bagi menjayakan program berkenaan.


“Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Sumbangan yang dihulurkan amat bermakna dan menjadi asbab kegembiraan kepada para penerima.
“Semoga segala kebaikan ini dikurniakan ganjaran berlipat ganda serta menjadi amal jariah yang berpanjangan,” ujarnya.
Beliau menambah, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Ameerah DUN Kijal dalam memperkukuh agenda kebajikan dan menyemai semangat kebersamaan dalam komuniti setempat.






























