KUALA NERUS – Kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental masyarakat terus diperkukuh apabila aspek kesejahteraan emosi dan kestabilan minda diangkat sebagai komponen penting kesejahteraan hidup, setara dengan keperluan menjaga kesihatan fizikal.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak berkata, kesihatan mental memainkan peranan besar dalam membentuk kualiti kehidupan individu, keharmonian keluarga serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
“Penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada kesejahteraan hidup.


“Program ini memberi penekanan kepada saringan kesihatan mental, pendedahan teknik kawalan kemarahan dan pengurusan tekanan agar rakyat lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan seharian dengan emosi stabil dan minda yang sejahtera,” jelasnya semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian Ketika berucap menyempurnakan Program Khidmat Kaunseling Komuniti di sini.
Tambah beliau, program ini turut berperanan menepis stigma negatif terhadap perkhidmatan kaunseling yang sering disalah anggap sebagai hanya untuk individu yang bermasalah atau sakit.


“Sebaliknya, kaunseling dilihat sebagai ruang sokongan, bimbingan dan pencegahan yang penting dalam membantu individu membina kekuatan diri, keharmonian keluarga serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Leftenan Kolonel Hajjah Siti Nurmiah binti Marzuki yang mewakili Presiden PERKAMA International atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
“Semoga segala usaha dan sumbangan yang dicurahkan menjadi amal kebajikan yang diberkati,” katanya.


Penghargaan turut diberikan kepada kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas usaha gigih, sumbangan tenaga dan idea demi memastikan kelancaran program.
“Semoga setiap pengorbanan masa, tenaga dan idea yang dicurahkan diberkati Allah SWT,” tambah beliau lagi.




























