Isu Keselamatan Sempadan Perlu Menjadi Fokus Sidang Asean

2007

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memainkan peranan penting dalam isu-isu serantau dalam sidang kemuncak ASEAN ke 23 yang sedang berlangsung di Brunei.

Meskipun antara isu yang dibangkitkan adalah masalah jerebu rentas sempadan, kelancaran pelaksanaan Komuniti Asean menjelang 2015 dan usaha mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan, bagi DPPM ada isu yang lebih utama dan perlu disuarakan oleh pemimpin-pemimpin negara ASEAN.

Dr RajaDPPM merasakan isu amat penting ketika ini adalah isu-isu keselamatan serantau. Isu keganasan di Selatan Thailand, Kepulauan Mindanao di Filipina serta keganasan terhadap warga Rohingya di Myanmar masih menjadi bualan antarabangsa dan perlu penyelesaian segera.

Selain itu, di Malaysia sendiri terutama warga Sabah masih masih tidak dapat lupakan insiden pencebohan sekumpulan pengganas di Lahad Datu beberapa bulan lalu. Ia menimbulkan polemik sehingga mencetuskan kegemparan rakyat di negeri itu terutama apabila ia mengorbankan rakyat dan pasukan keselamatan negara yang sedang menjalankan tugas.

Sudah pasti apa yang berlaku di Lahad Datu menjadi pengajaran yang berharga buat rakyat negara ini. Lantaran itu, PM perlu bersuara dan mendesak agar kerjasama keselamatan negara serantau perlu dipertingkatkan. Negara ASEAN perlu menghormati hak sempadan negara jiran mereka serta memastikan sempadan negara masing-masing dikawal rapi dari aktiviti pencerobohan. Ia memerlukan perbincangan bersama di samping kawalan ketenteraan yang kerap dan bersepadu antara negara-negara.

Selain itu, DPPM juga meminta kerajaan agar mempelajari dari negara Brunei dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan di negara tersebut tanpa prejudis. Ketegasan pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam melaksanakan Islam di negara tersebut amat membanggakan rakyat di negara tersebut malah umat Islam di negara ini. Ia seharusnya menjadi contoh kepada Malaysia supaya keberkatan, kemakmuran dan kekayaan yang dilimpahkan oleh Allah SWT dapat dinikmati oleh rakyat di negara ini.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Merangkap Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM