Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan usaha kerajaan menyediakan Pusat Khidmat Sementara Gelandangan yang terdapat di ibu kota. Kami difahamkan setakat ini sudah terdapat sebuah pusat yang telah beroperasi di Jalan Sultan Ismail manakala sebuah lagi bakal disiapkan di Jalan Pahang.
Golongan gelandangan adalah antara isu utama yang perlu diberikan perhatian khusus oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. DPPWP bercadang agar rumah perlindungan tersebut didirikan atas tanah-tanah wakaf yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur.


Dalam sesi ini, DPPWP komited dalam merangka plan solusi untuk membantu menyelesaikan cabaran golongan gelandangan yang terdapat di sekitar ibu kota. Plan ini akan dirunding bersama beberapa agensi kerajaan antaranya DBKL, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan MAIWP.
Malah, Alhamdulillah DPPWP telah merintis tawaran kelas tuisyen percuma kepada anak-anak gelandangan di beberapa kawasan Parlimen yang telah dikenal pasti. Dalam tempoh dua tahun ini, kelas tuisyen percuma ini akan diperluaskan bagi memastikan anak-anak gelandangan ini mendapat akses kepada kualiti dan tahap pendidikan yang dikecapi oleh orang lain.
Sekian, terima kasih.
IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
KETUA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
4 Syawwal 1436 | 20 Julai 2015





























